DUNIA > BERITA

Kemboja Rancang Siapkan Jalan Lingkaran Sempadan Dengan Kos Us$200 Juta: PM

05/09/2024 05:51 PM

PHNOM PENH, 5 Sept (Bernama-Xinhua) -- Kemboja merancang belanjawan lebih US$200 juta untuk menyiapkan pembinaan jalan lingkaran sempadan dalam tempoh 10 tahun, kata Perdana Menteri negara itu Hun Manet pada Khamis, lapor Xinhua.

Negara Asia Tenggara itu berkongsi sempadan dengan Vietnam, Laos dan Thailand.

"Setakat ini, kami telah membina jalan lingkaran sempadan sepanjang kira-kira 1,300 kilometer, atau kira-kira 50 peratus daripada jumlah panjang keseluruhan," katanya dalam ucapan semasa majlis pengijazahan peguam di Persatuan Peguam Kemboja.

"Kami merancang untuk menyiapkan pembinaan bahagian yang selebihnya dalam tempoh 10 tahun dengan kos lebih US$200 juta," katanya.

Hun Manet melancarkan Dana Pembangunan Infrastruktur Sempadan (BIDF) pada 26 Ogos, yang bertujuan mengumpul dana tambahan untuk meningkatkan infrastruktur di sepanjang sempadan negara, dengan keutamaan kepada pembinaan jalan lingkaran sempadan.

Beliau berkata setakat ini, hampir 400,000 orang menderma wang kepada BIDF, dan pengumpulan dana masih diteruskan.

"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat kita di dalam dan luar negara atas sokongan padu mereka terhadap yayasan ini," katanya.

-- BERNAMA-XINHUA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan