DUNIA > BERITA

Hunter Biden Mengaku Salah Atas Pertuduhan Elak Cukai Di Los Angeles

06/09/2024 09:48 AM

LOS ANGELES, 6 Sept (Bernama-Xinhua) -- Anak lelaki Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, Hunter Biden mengaku bersalah pada Khamis terhadap sembilan pertuduhan dalam kes cukai di Mahkamah Persekutuan Los Angeles.

Hunter Biden, 54, sebelum ini didakwa di California pada Disember lalu atas sembilan pertuduhan berkaitan siasatan Jabatan Kehakiman mengenai cukainya.

Pendakwa raya persekutuan mendakwanya mengelak pembayaran cukai berjumlah sekurang-kurangnya US$1.4 juta.

Lelaki itu sebelum ini mengaku tidak bersalah.

Bagaimanapun pada Khamis, peguamnya memaklumkan kepada mahkamah bahawa Hunter Biden merancang untuk menukar pengakuan sebelum perbicaraan bermula.

Keputusan mengejut Hunter Biden untuk mengaku bersalah atas pertuduhan jenayah dan salah laku tanpa sebarang perjanjian dengan pendakwa raya dibuat hanya beberapa jam sebelum proses pemilihan juri dijadualkan bermula, lapor stesen televisyen NBC Los Angeles, dipetik Xinhua.

Hunter Biden dengan tenang mengaku "bersalah" apabila setiap satu daripada sembilan pertuduhan dibacakan oleh hakim, menurut laporan stesen televisyen itu.

Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum sehingga 17 tahun, namun garis panduan hukuman persekutuan dijangka mencadangkan tempoh penjara yang lebih pendek.

Hukuman dijadualkan pada 16 Disember, sejurus selepas pilihan raya presiden Amerika Syarikat 2024 yang dijadualkan pada 5 Nov.

Pada Jun lalu, Hunter Biden turut disabitkan atas tiga pertuduhan jenayah senjata api dalam kes berasingan.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan