DUNIA > BERITA

Bilangan Penduduk Kekurangan Zat Makanan Akut Meningkat Kepada 1.9 Juta - Laporan

06/09/2024 02:48 PM

LONDON, 6 Sept (Bernama-Anadolu) -- Bilangan individu berdepan risiko kekurangan makanan yang melampau dengan peningkatan risiko malnutrisi akut dan kematian meningkat lebih dua kali ganda pada 2024 kepada 1.9 juta, menurut laporan yang dikeluarkan Rangkaian Global Menentang Krisis Makanan pada Khamis.

Agensi Anadolu memetik Laporan Global Mengenai Krisis Makanan (GRFC) pada tahun lalu bahawa seramai 705,000 orang dikategorikan dalam risiko "catastrophe" (bencana) tetapi jumlah ini melonjak kepada 1.9 juta pada 2024.

"Ini adalah jumlah tertinggi dalam laporan GRFC, yang didorong oleh konflik di Semenanjung Gaza dan Sudan," menurut laporan itu.

Laporan itu juga mendedahkan bahawa Semenanjung Gaza kekal berdepan krisis makanan paling teruk dalam sejarah GRFC, dengan semua 2.2 juta penduduknya masih memerlukan bantuan makanan dan mata pencarian antara Mac dan April 2024.

"Krisis ini telah meningkat, dengan separuh daripada penduduk berada dalam keadaan “catastrophe” (IPC Fasa 5) dalam tempoh itu, meningkat daripada satu per empat pada Disember 2023–Februari 2024," menurut laporan itu.

Di Sudan, kebuluran sedang berlaku dan dijangka berterusan sehingga Oktober 2024.

"Banyak kawasan lain di seluruh negara berisiko menghadapi kebuluran, tetapi kekurangan data menghalang analisis bagi banyak kawasan yang sukar dicapai," menurut laporan itu.

Dianggarkan 25.6 juta orang di Sudan menghadapi tahap kekurangan makanan akut yang tinggi dari Jun hingga September, meningkat 26 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

"Konflik itu turut memberi kesan serius terhadap keselamatan makanan dan pemakanan serantau, dengan lebih 2 juta orang terpaksa melarikan diri ke negara jiran, terutamanya negara yang mengalami krisis makanan utama seperti Chad dan Sudan Selatan," menurut kajian itu.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan