DUNIA > BERITA

China Sasar Bawa Balik Sampel Marikh Sekitar 2028

06/09/2024 02:56 PM

HUANGSHAN, 6 Sept (Bernama-CMG) -- China merancang menjalankan misi pelancaran prob penyelidikan Tianwen-3 sebanyak dua kali sekitar 2028 untuk membawa balik sampel dari Marikh.

Demikian kata ketua pereka bentuk misi Tianwen-3, Liu Jizhong pada Persidangan Penyelidikan Angkasa Lepas Antarabangsa ke-2 di bandar Huangshan provinsi Anhui China pada Khamis.

Pendaratan prob penyelidikan Tianwen-1 yang berjaya di Marikh pada 2021 menjadikan China negara kedua yang berkemampuan mendarat di planet itu.

Hasil penyelidikan saintifik yang diperoleh secara berturut-turut oleh China, meningkatkan pemahaman manusia terhadap sejarah evolusi dan kaedah perubahan alam sekitar di Marikh, serta punca terjadinya bentuk muka bumi di permukaan planet itu.

Menurut Liu matlamat saintifik utama misi Tianwen-3 yang dianggap sebagai misi eksplorasi Marikh China buat kali kedua itu adalah untuk mencari tanda-tanda makhluk hidup di Marikh. Teknologi teras seperti pengumpulan sampel di permukaan Marikh, memulakan penerbangan dari planet itu, pertemuan di orbit yang mengelilingi Marikh, serta perlindungan planet akan digunakan untuk menjayakan misi membawa balik sampel dari Marikh.

Selain itu, kerjasama antarabangsa dalam tiga bidang yang melibatkan membawa muatan, berkongsi sampel dan data Marikh serta perancangan dan penyelidikan bersama program baharu juga akan dijalankan dalam misi Tianwen-3 kali ini.

"Kami akan bekerjasama dengan negara lain atau institusi penyelidikan saintifik berkenaan untuk mendefinisikan visi dan misi, menganalisis permintaan, menjalankan penyelidikan tentang konsep, mereka bentuk rancangan dan mengatasi masalah teknikal utama untuk membina Pusat Penyelidikan di Marikh," kata Liu.

-- BERNAMA-CMG

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan