DUNIA > BERITA

ISA Sedia Luaskan Pengaruh Ke ASEAN, Malaysia Antara Prospek Utama

07/09/2024 11:47 AM

Oleh Sh Nur Shahrizad Sy Mohamed Sharer

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Perikatan Solar Antarabangsa (ISA) kini bersedia meluaskan jaringannya di rantau ASEAN, dengan Malaysia berpotensi sebagai antara  prospek utama dalam inisiatif tenaga solar.

Ketua Operasi ISA, Joshua Wycliffe mengesahkan perbincangan dengan Malaysia dibantu kerjasama erat Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri India (MEA) yang berhubung rapat dengan Kementerian Luar Negeri Malaysia.

“Ada beberapa penjelasan yang diminta dan kami memberikan penjelasan itu. Berdasarkan maklum balas, kelihatan Malaysia berminat untuk menyertai ISA.

“Kami optimis dalam beberapa bulan akan datang untuk Malaysia menyertai perikatan ini,” katanya semasa taklimat kepada 23 wartawan dari rantau Indo-Pasifik di Sekretariat ISA di New Delhi baru-baru ini.

Taklimat itu adalah sebahagian daripada lawatan suai kenal oleh Dialog Keselamatan Kuadrilateral (QUADS) ke India, yang dianjurkan oleh MEA.

ISA yang ditubuhkan semasa COP21 di Paris pada 2015, merupakan inisiatif kerjasama antara India dan Perancis, yang bertujuan menangani perubahan iklim melalui penyelesaian tenaga suria.

Kira-kira 100 negara menandatangani perjanjian itu, dengan sekitar 90 daripadanya meratifikasi untuk menjadi anggota penuh.

ISA mencapai kemajuan yang signifikan di rantau ASEAN dengan Singapura menyertai perikatan itu setahun lalu, manakala Kemboja turut menjadi ahli.

Malaysia dalam beberapa tahun kebelakangan ini mencapai kemajuan ketara dalam sektor tenaga suria, menyedari kepentingannya untuk kelestarian dan pengurangan pelepasan karbon.

Menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan tenaga suria daripada empat peratus kepada 58 peratus menjelang 2050.

Kerajaan juga merancang untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui kepada 70 peratus menjelang 2050, menyokong matlamat pelepasan gas rumah kaca sifar bersih menjelang tahun yang sama.

Mengulas lanjut, Wycliffe turut menekankan kepentingan pembaharuan berkaitan perundangan dan peraturan berkaitan tenaga untuk disesuaikan dengan keperluan moden bagi menarik pelaburan ke dalam sektor ini.

Beliau berkata, undang-undang seperti itu di kebanyakan negara termasuk India telah digubal puluhan tahun lalu, ada yang seawal 1960-an, menjadikannya ketinggalan zaman dalam landskap teknologi yang semakin berkembang pesat hari ini.

“Ia sesuai pada masa itu. Namun hari ini, dengan perkembangan yang kita saksikan, adalah penting untuk kita mempunyai undang-undang yang dapat menarik pelaburan,” katanya, sambil menekankan peranan penting media dalam memacu dan mempromosikan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di seluruh dunia.

“Media boleh memainkan peranan yang sangat penting dari segi advokasi. Projek demonstrasi akan kekal sebagai projek demonstrasi tanpa kesedaran dan advokasi.

"Jadi mengetengahkannya melalui saluran media anda adalah sangat, sangat penting,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan