DUNIA > BERITA

Lawatan PM Ke Rusia Pastikan Kedudukan Strategik Malaysia Di Persada Global

07/09/2024 04:01 PM

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia baru-baru ini dilihat sebagai langkah strategik untuk memastikan kedudukan Malaysia dalam dunia yang berkembang pesat.

Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS), Prof Datuk Dr Mohd Faiz Abdullah berkata lawatan dua hari ke Vladivostok itu meluaskan prospek ekonomi Malaysia, mengukuhkan kerjasama strategik serta menegaskan pendirian bebas Malaysia dalam dunia yang semakin dicorakkan oleh persaingan geopolitik.

“Lawatan Anwar ke Rusia bukanlah bukanlah sekadar langkah tergesa-gesa. Ia adalah langkah yang dirancang dengan teliti untuk memastikan kedudukan Malaysia dalam landskap global yang pantas berubah,” katanya dalam artikel bertajuk "Why Anwar Went To Russia," yang diterbitkan di laman sesawang Bernama pada Sabtu.

Anwar tiba di Vladivostok pada 4 Sept untuk menghadiri sesi pleno Forum Ekonomi Timur kesembilan (EEF) atas jemputan Presiden Rusia Vladimir Putin.

Anwar juga mengadakan pertemuan dua hala dengan Putin.

Mohd Faiz berkata lawatan perdana menteri itu menerima pelbagai reaksi, daripada minat hingga mungkin rasa kurang senang.

“Anwar ke Vladivostok dengan tujuan yang jelas: memajukan kepentingan Malaysia dan mengukuhkan hubungan dengan Rusia. Strategi utama beliau adalah untuk memperluaskan ruang geoekonomi Malaysia sambil mempelbagaikan rakan kongsi global,” katanya.

Mohd Faiz berkata, Anwar menyedari sensitiviti untuk melibatkan diri dengan Rusia dalam iklim geopolitik semasa, namun tetap menegaskan ia adalah "keputusan yang tepat."

“Pendekatan Anwar terhadap Rusia bukanlah satu penjajaran buta, kerana perdana menteri secara tegas mengulangi pendirian Malaysia mengenai konflik Ukraine, yang menyeru penyelesaian secara aman melalui dialog.

“Dalam semua rundingan diplomatiknya, Perdana Menteri kekal teguh mempertahankan prinsip dan kepentingan Malaysia, walaupun ketika berurusan dengan kuasa besar,” katanya.

Beliau memetik cara Anwar mengendalikan soalan mengenai China di Laut China Selatan, dengan Malaysia sentiasa mempertahankan kedaulatannya sambil mengekalkan keseimbangan dalam hubungan.

“Pragmatisme yang sama juga mengatur hubungan Malaysia dengan Rusia. Percanggahan pendapat mungkin timbul, tetapi diplomasi tidak memerlukan semua isu didedahkan secara terbuka,” katanya.

Mohd Faiz berkata, Anwar menunjukkan pendekatan Malaysia yang mengutamakan penjajaran di mana boleh dan mengurus perbezaan secara bijaksana apabila perlu.

“Pada masa yang sama, Anwar menggariskan titik persamaan dengan negara sekutu mengenai isu-isu penting kepada rakyat Malaysia.

"Gesaannya semasa ucapan di Vladivostok agar tekanan antarabangsa dikenakan terhadap Israel untuk menghentikan genosid di Gaza mendapat sambutan, malah Putin turut bertepuk tangan.

“Dalam keseimbangan ini, Anwar menunjukkan keupayaan Malaysia untuk mencari jalan tengah sambil mengurus perbezaan apabila perlu,” katanya.

Mengenai BRICS, Mohd Faiz menyifatkan jemputan Putin untuk Malaysia menghadiri Sidang Kemuncak BRICS di Kazan, Rusia yang dijadual pada 22 hingga 24 Okt sebagai langkah kritikal ke arah keanggotaan blok yang sedang berkembang itu.

“Dengan melibatkan diri lebih awal, Malaysia boleh memastikan kedudukannya sebagai pemain utama dalam rangkaian yang semakin berkembang ini,” katanya sambil menambah bahawa walaupun blok itu masih dalam peringkat awal, potensinya tidak boleh dipandang ringan.

Sementara itu, Mohd Faiz berkata, lawatan Anwar juga bertujuan untuk meningkatkan hubungan ekonomi Malaysia-Rusia.

Tumpuan Rusia yang semakin beralih ke Asia, didorong oleh sekatan dan kemerosotan perdagangan Eropah, membuka peluang yang tepat pada masanya untuk Malaysia, katanya.

“Peralihan ke arah Timur menawarkan Malaysia peluang untuk memanfaatkan aliran perdagangan baharu.

Dalam persekitaran global kini,  Malaysia perlu merebut peluang perniagaan di mana sahaja ia muncul,” katanya.

Sementara itu, Mohd Faiz berkata, lawatan Anwar mencetuskan rasa bangga negara di media sosial, dengan ramai rakyat Malaysia menghargai penghormatan yang diterima Anwar di pentas antarabangsa.

Beliau menyifatkannya sebagai “ungkapan kebanggaan yang lebih luas terhadap kedudukan antarabangsa Malaysia” dan keinginan untuk Malaysia menegaskan tempatnya dalam dunia multipolar.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan