DUNIA > BERITA

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia

07/09/2024 09:44 PM

JAKARTA, 7 Sept (Bernama) -- Indonesia mengesahkan komitmennya untuk mengukuhkan kerjasama pertahanan dengan Malaysia susulan pertemuan penting antara Menteri Pertahanannya Prabowo Subianto dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pertahanan Indonesia berkata tumpuan Prabowo adalah kepada hubungan yang kukuh dan berkekalan antara kedua-dua negara dan keyakinan beliau untuk mengukuhkan lagi kerjasama ini.

"Saya menghargai hubungan erat antara kedua-dua negara dan akan terus berusaha untuk meningkatkan kerjasama kita, terutamanya dalam bidang pertahanan.

"Saya menghargai harapan positif Seri Paduka Baginda dan berharap perkongsian kami akan terus berkembang untuk manfaat bersama," kata Prabowo.

Perbincangan selama sejam itu juga meliputi Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Malaysia-Indonesia, dengan Indonesia menjangkakan mesyuarat GBC ke-44 yang akan datang akan mengukuhkan komitmen dan meningkatkan keselamatan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini.

Prabowo, yang mempunyai persahabatan yang lama terjalin dengan Seri Paduka Baginda sejak lebih 40 tahun lalu ketika latihan ketenteraan bersama mereka di Fort Bragg, Amerika Syarikat, memuji Malaysia atas layanan mesra yang diberikan dan menekankan kepentingan kerjasama strategik yang berterusan.

Dijadualkan menggantikan Presiden Indonesia Joko Widodo pada 20 Okt, lawatan Prabowo ke Malaysia adalah sebahagian daripada siri lawatan rasmi ke Brunei, Laos dan Kemboja.

Beliau juga membuat lawatan tidak rasmi ke Thailand untuk bertemu dengan bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra dan anak perempuannya, Paetongtarn, yang merupakan perdana menteri baharu kerajaan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan