DUNIA > BERITA

Prabowo Bawa Diplomasi Luar Indonesia Ke Arah ASEAN

09/09/2024 05:34 PM

PHNOM PENH, 9 Sept (Bernama) -- Presiden terpilih Indonesia, Prabowo Subianto tiba di Kemboja Jumaat lepas tanpa sambutan besar-besaran, tetapi lawatan itu jauh dari sekadar persinggahan biasa.

Pemimpin veteran itu membawa bersamanya strategi dasar luar negara dengan matlamat untuk mentakrifkan semula imej Indonesia dalam ASEAN melalui jalinan diplomatik.

Ketika beliau melawat ibu kota Asia Tenggara - dari negara-negara kecil seperti Brunei dan Laos hingga negara berpengaruh seperti Thailand, Malaysia dan Kemboja - Prabowo yang juga Menteri Pertahanan semasa, berusaha untuk mempromosikan agenda dasar luar Jakarta bagi memperkukuh diplomasi dan kerjasama serantau.

Lawatan pantas Prabowo ini turut mencerminkan falsafah inklusif yang dibawanya dengan mendekati ahli blok ASEAN yang pelbagai, tanpa mengira kecenderungan geo-politik atau status ekonomi mereka - pendekatannya untuk menyesuaikan semula perdagangan, keselamatan dan pertukaran budaya dalam kerangka ASEAN.

Bercakap kepada Bernama dari Jakarta, Profesor Penyelidikan di Pusat Penyelidikan Politik, Agensi Penyelidikan dan Inovasi Kebangsaan Prof Dr Dewi Fortuna Anwar berkata, presiden terpilih itu sedang mempromosikan pendekatan hubungan antarabangsanya untuk mengukuhkan status Indonesia di rantau ini.

"Beliau telah banyak mengembara sebelum pelantikan rasmi dan menghantar isyarat jelas mengenai dasar luarnya, ini ditunjukkan melalui pelbagai negara yang telah dilawati. Beliau sedang membina hubungan baik dengan anggota ASEAN sebelum dilantik secara rasmi.

Ia merupakan perluasan dasar luar negara. Dasar luar Jokowi lebih sempit, iaitu diplomasi ekonomi. Dengan latar belakangnya, Prabowo sudah pasti akan mempunyai minat khusus dalam geopolitik dan geo-keselamatan.

Sebagai Menteri Pertahanan, Prabowo telah aktif dalam memperkukuh diplomasi pertahanan dan kerjasama keselamatan dengan pelbagai rakan kongsi. Namun, Prabowo juga mungkin akan meneruskan dasar Jokowi untuk menarik pelaburan asing dan menjamin pasaran eksport bagi menyokong pembangunan ekonomi Indonesia," katanya.

Pelantikan rasmi Prabowo dijadualkan pada bulan Oktober.

Akhbar Jakarta Post dalam ruangan pendapatnya pada bulan Ogos melaporkan bahawa akan terdapat "peralihan dalam keutamaan dasar luar" di bawah pentadbiran Prabowo berbanding dengan dasar Presiden Joko Widodo yang memberi tumpuan kepada promosi perdagangan dan pelaburan.

"Prabowo dijangka akan memasukkan lebih banyak aspek pertahanan dan keselamatan ke dalam dasar luar Indonesia, bukan sahaja sebagai kesinambungan programnya sebagai Menteri Pertahanan, tetapi juga kerana landskap geopolitik semasa yang menuntut ini.

Jadi kita boleh menjangka adanya penyelarasan yang lebih besar antara dasar luar negara dan pertahanan, berbanding dengan hala tuju berasingan seperti sekarang," kata Jakarta Post.

Lawatan Prabowo ke Kemboja menguatkan pandangan akhbar berkenaan.

Kemboja kekal sebagai rakan kongsi utama bagi Indonesia kerana kedua-dua negara mempunyai sejarah diplomatik yang panjang, dengan Indonesia memainkan peranan aktif dalam perjuangan kemerdekaan Kemboja daripada penjajahan Perancis.

"Ia merupakan lawatan penting kerana ia menonjolkan hubungan sihat antara Indonesia dan Kemboja sejak kita menjalin hubungan diplomatik. Indonesia penting dalam hubungan diplomatik kami dan ia memainkan peranan penting dalam ASEAN serta merupakan ahli G20.

Indonesia juga sedang memperluaskan pengaruhnya di rantau ini dan mahu memainkan peranan yang lebih aktif dalam hal ehwal serantau," kata Ketua Pengarah Institut Hubungan Antarabangsa Kemboja Dr Kin Phea kepada Bernama.

Kerajaan Indonesia telah memberikan bantuan ketenteraan bernilai US$500,000 dalam bentuk senapang, pistol dan peluru kepada Kemboja seminggu sebelum ketibaan Prabowo.

Sepanjang 65 tahun persahabatan, hubungan dua hala berkembang pesat - perdagangan dua hala mencecah satu bilion dolar dengan kerjasama pertahanan dan keselamatan yang kukuh serta semakin banyak perniagaan Indonesia meneroka peluang di Kemboja.

Kini, kedua-dua negara sedang mempergiatkan strategi untuk menangani isu rentas sempadan - jenayah siber, pemerdagangan manusia, keganasan, perubahan iklim, keterjaminan makanan dan kekurangan tenaga serta penyeludupan narkotik.

Kemboja adalah rakan lama Indonesia, kata Dewi, sejak menghadiri Persidangan Bandung yang bersejarah pada 1957 dan menyokong Gerakan Negara-Negara Berkecuali sejak 1960-an.

"Indonesia memainkan peranan penting dalam proses damai Kemboja. Ia menganjurkan siri rundingan damai di Jakarta (antara pihak yang bertelagah) untuk menyelesaikan konflik di Kemboja.

Hubungan antara Indonesia dan Kemboja dari zaman sejarah hingga zaman moden adalah istimewa. Kedua-duanya mempunyai sejarah panjang persahabatan," kata Dewi.

Indonesia turut menempatkan tentera pada 1992 di bawah Pihak Berkuasa Peralihan Bangsa-Bangsa Bersatu di Kemboja (UNTAC) untuk membantu membina keamanan selepas tamatnya perang saudara.

Tujuh tahun kemudian, Indonesia, sebagai satu daripada pengasas ASEAN menyokong kemasukan Kemboja ke dalam blok perdagangan serantau yang kini mempunyai 10 anggota itu.

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan