DUNIA > BERITA

Budaya ASEAN Diserlahkan Dalam Festival Mexico City

10/09/2024 06:17 PM

MEXICO CITY, 10 Sept (Bernama-VNA) -- Festival ASEAN 2024 berlangsung di Teater Angela Peralta, di pusat bandar Mexico City, menawarkan peluang kepada penduduk tempatan untuk menikmati kepelbagaian budaya dari negara ASEAN, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Acara itu adalah sebahagian daripada aktiviti hal ehwal luar oleh Jawatankuasa ASEAN di Mexico City (ACMC), yang bertujuan meningkatkan kefahaman serta mempererat perpaduan dan persahabatan antara negara anggota ASEAN dan Mexico, khususnya dalam bidang diplomasi kebudayaan.

Berucap pada majlis itu yang berakhir pada 8 Sept, Duta Besar Indonesia ke Mexico, Cheppy Wartono, yang berkhidmat sebagai Pengerusi bergilir ACMC, menyatakan dengan 10 anggotanya, ASEAN telah menjadi satu daripada rantau paling dinamik di dunia, dengan jumlah KDNK sekitar US$3.7 trilion, menjadikannya ekonomi kelima terbesar di dunia dan mempunyai kira-kira 680 juta penduduk.

Selain itu, ASEAN merupakan sebuah organisasi yang berprestij dan semakin berpengaruh dengan hubungan luar yang luas, memainkan peranan penting di rantau ini, dihargai oleh semua rakan kongsi, terutama kuasa besar. Blok ini telah menandatangani 125 perjanjian perdagangan bebas (FTA), termasuk enam dengan organisasi serantau.

Menegaskan bahawa ASEAN sentiasa mengutamakan hubungannya dengan Mexico, Wartono berkata bahawa hubungan dua hala antara negara anggotanya dan Mexico telah berkembang secara berterusan dalam beberapa tahun kebelakangan ini dalam pelbagai bidang, khususnya dalam aktiviti pelaburan, perdagangan dan pelancongan.

Maria de Lourdes Pozo Pietra Santa, ketua Jabatan Hal Ehwal Antarabangsa perbandaran Miguel Hidalgo, yang menempatkan banyak misi diplomatik antarabangsa, memuji kepentingan ruang budaya Vietnam, sambil menyatakan bahawa pentadbiran tempatan dan penduduk gembira untuk mengambil bahagian dalam aktiviti kebudayaan seperti festival itu.

Para pengunjung festival disajikan dengan persembahan seni rakyat, kraftangan dan karya seni yang mencerminkan warisan budaya yang kaya dari Vietnam, selain menikmati hidangan tradisional negara itu.

-- BERNAMA-VNA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan