DUNIA > BERITA

Thailand, Malaysia Teguhkan Komitmen Perkukuh Hubungan Dua Hala

10/09/2024 09:22 PM

BANGKOK, 10 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Thailand yang baharu dilantik, Paetongtarn Shinawatra menegaskan komitmennya untuk menjalin kerjasama erat dengan rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan tumpuan mengukuhkan kerjasama merentasi sektor-sektor utama.

Paetongtarn, 38, menerima ucapan tahniah daripada Anwar selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Thailand ke-31, menzahirkan hasratnya untuk bekerjasama rapat dengan beliau semasa perbualan mereka menerusi panggilan telefon.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Anwar dan Kerajaan Malaysia atas persahabatan yang erat dan hubungan baik sebagai jiran.

"Saya menyampaikan hasrat untuk menjalin kerjasama erat dengan beliau bagi meneruskan momentum dan dasar yang dirintis antara Perdana Menteri Anwar dan bekas Perdana Menteri Srettha Thavisin serta memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang terutamanya perdagangan, pelaburan dan pelancongan,” katanya menerusi hantaran di platform X pada Selasa.

Kedua-dua pemimpin turut bersetuju untuk melaksanakan inisiatif ‘Six Countries, One Destination’ bagi meningkatkan sektor pelancongan di rantau ini, katanya.

Tahun lepas, Malaysia menduduki tempat pertama sebagai rakan dagang terbesar Thailand dalam ASEAN, dan pelancong Malaysia juga mencatat jumlah tertinggi di antara pelancong asing yang melawat Thailand.

Sementara itu, kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk bekerjasama dalam mempromosikan keamanan dan pembangunan di kawasan sempadan, yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara dan rakyatnya.

Paetongtarn berkata bahawa Anwar turut mengundang beliau untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia secepat mungkin.

Paetongtarn, perdana menteri termuda Thailand mengetuai 35 menteri Kabinet yang mengangkat sumpah jawatan pada Jumaat.

Beliau dijangka menyampaikan kenyataan dasarnya pada Khamis, menandakan permulaan rasmi pentadbirannya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan