DUNIA > BERITA

China, Rusia Sepakat Tingkatkan Komunikasi Strategik

11/09/2024 02:31 PM

SAINT PETERSBURG, 11 Sept (Bernama-CMG) -- China bersedia meningkatkan komunikasi strategik dengan Rusia demi memperkayakan konotasi strategik hubungan kedua-dua negara.

Ketua Pejabat Hal Ehwal Luar Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) Wang Yi berkata demikian ketika menemui setiausaha Majlis Keselamatan Persekutuan Rusia Sergei Shoigu di sini, pada Selasa.

Dalam pertemuan itu, Wang mengatakan bahawa China dan Rusia mengekalkan komunikasi di pelbagai peringkat, melaksanakan konsensus penting yang dicapai pemimpin kedua-dua negara, mengukuhkan asas politik dan sosial bagi hubungan jiran bersahabat, di samping memperkasakan kerjasama strategik komprehensif dan saling untung.

Beliau menegaskan bahawa China bersedia meningkatkan komunikasi strategik dengan Rusia, memaksimumkan peranan mekanisme perbincangan keselamatan strategik China-Rusia dan mekanisme mesyuarat perwakilan keselamatan BRICS untuk memperkayakan konotasi strategik hubungan kedua-dua negara.

Shoigu berkata pihaknya bersedia memperkasakan komunikasi strategik dan koordinasi dengan China untuk menjayakan sidang kemuncak BRICS yang bakal diadakan di Kazan pada bulan depan.

Wang dan Shoigu juga berkesempatan bertukar-tukar pendapat tentang krisis di Ukraine.

Wang menekankan bahawa China mempertahankan prinsip objektif dan adil dalam isu Ukraine dan akan terus berusaha untuk mendorong gencatan senjata dan penyelesaian krisis melalui cara politik dengan secepat mungkin.

-- BERNAMA-CMG

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan