DUNIA > BERITA

China Sedia Rapatkan Kerjasama Dengan Arab Saudi, Kata PM Li Qiang

12/09/2024 02:15 PM

RIYADH, 12 Sept (Bernama-CMG) -- China bersedia merapatkan kerjasama dan maju seiring dengan Arab Saudi dalam jalan pembangunan bersama, kata Perdana Menteri China Li Qiang di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Arab Saudi merangkap Perdana Menteri Mohammed bin Salman Al Saud, dan bersama-sama mempengerusikan Mesyuarat Keempat Jawantankuasa Bersama Peringkat Tinggi China-Arab Saudi.

Li mengesyorkan agar kedua-dua negara meningkatkan skop perdagangan dua hala, memperkasakan kerjasama dalam sektor tradisional seperti minyak dan gas asli, petrokimia, serta pembinaan infrastruktur, di samping menerokai bidang kerjasama yang baharu seperti tenaga baharu, teknologi maklumat, telekomunikasi, ekonomi digital dan lain-lain.

"Kedua-dua negara harus saling menggalakkan syarikat tempatan melabur di negara lain, bersama-sama memelihara kestabilan rantaian bekalan dan rantaian perindustrian global.

"China bersedia meningkatkan penyelarasan pelbagai hala dengan Arab Saudi, mendorong perpaduan dan kerjasama negara Asia, demi mendorong tadbir urus global berkembang ke arah lebih adil dan rasional," kata Li. 

Putera Mahkota Mohammed berkata pihaknya berharap merapatkan pertukaran lawatan peringkat tinggi dengan China, memaksimumkan peranan mekanisme jawatankuasa bersama tersebut, meningkatkan kolaborasi dalam sektor tenaga, pelaburan, kebudayaan dan lain-lain.

"Arab Saudi dan China mengamalkan prinsip menghormati kedaulatan negara lain dan tidak mencampuri isu domestik negara lain.

"Arab Saudi menyanjung tinggi pendirian adil China membabitkan isu Palestin, dan bersedia merapatkan penyelarasan dengan China dalam isu-isu global," kata beliau.

Mekanisme Jawatankuasa Bersama Peringkat Tinggi China-Arab Saudi yang ditubuhkan pada 2016 sempena lawatan rasmi Presiden China Xi Jinping, adalah untuk memperkasa dan menyelaraskan kerjasama kedua-dua negara dalam pelbagai bidang.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan