DUNIA > BERITA

9 Calon Bertanding Dalam Pemilihan Presiden LDP

12/09/2024 04:11 PM

TOKYO, 12 Sept (Bernama-Kyodo) -- Sembilan calon bersaing dalam pemilihan presiden Parti Demokratik Liberal (LDP), parti yang memerintah Jepun dengan kempen selama 15 hari bermula Khamis, lapor Agensi Berita Kyodo.

Individu yang memenangi pemilihan itu pada 27 September ini akan menggantikan Perdana Menteri Fumio Kishida yang bakal berundur susulan skandal pengumpulan dana politik.

Bakal presiden LDP selain perlu membina semula parti sebagai ketua baharu dan memenangi semula keyakinan pengundi juga perlu menangani isu kenaikan harga barang yang melebihi pertumbuhan gaji serta cabaran keselamatan yang ditimbulkan oleh China dan Korea Utara.

Pemimpin baharu itu pasti akan menjadi perdana menteri kerana kedua-dua dewan parlimen dikawal oleh LDP dan rakan gabungannya, parti Komeito.

Komeito juga akan memilih pemimpin baharunya bulan ini sebagaimana parti pembangkang utama, Constitutional Democratic Party (CDP).

Pembaharuan parti adalah antara janji dalam kalangan pesaing kepimpinan LDP, termasuk dua calon muda berusia 40-an dan dua wanita yang berusaha untuk menjadi perdana menteri wanita pertama Jepun. Empat daripadanya adalah anggota semasa Kabinet Kishida.

Antara calon mengambil bahagian dalam pemilihan kali ini ialah bekas Menteri Pertahanan Shigeru Ishiba, bintang yang semakin meningkat dalam LDP, Shinjiro Koizumi, Menteri Digital Taro Kono dan Setiausaha Kabinet Yoshimasa Hayashi.

Selain itu, dua calon wanita yang mencuba nasib ialah Menteri Luar Yoko Kamikawa dan Menteri Keselamatan Ekonomi Sanae Takaichi.

Turut mengambil bahagian ialah bekas menteri keselamatan ekonomi Takayuki Kobayashi, bekas menteri kesihatan Katsunobu Kato dan Setiausaha Agung LDP Toshimitsu Motegi.

Jika tiada calon memenangi majoriti mutlak daripada 734 undi -- 367 daripada ahli parlimen LDP dan 367 lagi daripada ahli biasa -- undian kedua akan diadakan pada hari yang sama antara dua calon teratas, dengan 367 undi daripada ahli parlimen dan 47 undi ahli biasa diperuntukkan kepada setiap 47 wilayah Jepun.

Tarikh akhir pengundian oleh ahli biasa dijadualkan pada 26 September dan ketua LDP yang baharu akan dipilih untuk penggal tiga tahun pada 27 September.

Pemimpin itu kemudiannya akan dipilih sebagai perdana menteri di parlimen, kemungkinan pada 1 Oktober.

-- BERNAMA-KYODO


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan