DUNIA > BERITA

Who, Bpom Luluskan Vaksin Mpox Untuk Indonesia

12/09/2024 06:44 PM

JAKARTA, 12 Sept (Bernama-ANTARA) -- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Badan Pengawas Ubat dan Makanan (BPOM) meluluskan penggunaan vaksin mpox di Indonesia, menurut Kementerian Kesihatan.

Vaksin-vaksin ini bukan eksperimen dan boleh diberikan semasa kecemasan kesihatan, kata jurucakap kementerian Mohammad Syahril, dalam satu kenyataan pada Khamis, lapor ANTARA.

Beliau membuat kenyataan ini sebagai respons kepada dakwaan bahawa vaksin mpox terkini adalah bersifat eksperimen, termasuk ada yang menyeru orang ramai untuk menolaknya.

"Vaksin mpox menerima kelulusan Senarai Penggunaan Kecemasan (EUL) daripada WHO dan Kebenaran Penggunaan Kecemasan (EUA) daripada BPOM, yang bermaksud ia diluluskan untuk digunakan dalam situasi kecemasan," katanya.

Beliau menambah bahawa Suruhanjaya Kebangsaan bagi Implikasi Buruk Selepas Imunisasi (Komnas KIPI) memantau keselamatan dan memastikan manfaat pemberian vaksin untuk mencegah penularan virus mpox (MPXV).

Vaksin mpox yang digunakan di Indonesia ketika ini adalah Modified Vaccinia Ankara-Bavarian Nordic (MVA-BN).

Vaksinasi mpox menggunakan vaksin MVA-BN diberikan sejak 2023, selepas kes mpox disahkan di Indonesia.

Syahril merujuk kepada dokumen WHO,  "Weekly Epidemiological Record: Smallpox and Mpox (Orthopoxviruses) Vaccine Position Paper", diterbitkan pada 23 Ogos, yang menyenaraikan tiga vaksin yang boleh digunakan untuk pencegahan mpox.

Beliau berkata bahawa ketiga-tiga vaksin ini pada asalnya dibangunkan untuk mencegah cacar tetapi kemudiannya diperluaskan untuk digunakan dalam pencegahan mpox.

-- BERNAMA-ANTARA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan