DUNIA > BERITA

Iran Gesa Brics Bertindak Hentikan Jenayah Zionis

12/09/2024 07:01 PM

ST. PETERSBURG, 12 Sept (Bernama-IRNA) -- Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran Ali Akbar Ahmadian menggesa BRICS untuk membantu menghentikan jenayah yang dilakukan oleh rejim Zionis di Semenanjung Gaza dan kawasan lain yang diduduki di Palestin. 

“Malangnya, selama kira-kira setahun, rejim Zionis dengan sokongan Amerika Syarikat dan beberapa kerajaan Barat telah membunuh puluhan ribu orang awam, kanak-kanak dan wanita," kata Ahmadian, lapor Agensi Berita Iran, IRNA.

Beliau berkata demikian ketika berucap di sidang kemuncak ke-14 pegawai berpangkat tinggi BRICS bagi hal keselamatan di sini.

Ahmadian berkata tindakan rejim yang tidak mengendahkan tuntutan masyarakat global, meletakkan keamanan dan keselamatan antarabangsa dalam bahaya.

Ketua keselamatan Iran itu menggesa pegawai kumpulan BRICS untuk membantu dalam apa jua cara bagi menghentikan kekejaman dan jenayah rejim Zionis yang merampas hak rakyat Palestin.

Ahmadian juga mencadangkan agar permintaan bagi penamatan konflik secara kekal dan pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Gaza dan Tebing Barat serta pertukaran tawanan dimasukkan dalam kenyataan akhir mesyuarat BRICS.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran itu turut menyatakan penghargaan terhadap tindakan kerajaan Afrika Selatan dan beberapa negara lain yang hadir dalam mesyuarat berkenaan kerana memfailkan kes di mahkamah antarabangsa terhadap genosid dan jenayah Israel ke atas rakyat Palestin, dan menyatakan sokongan negaranya dalam hal itu.

-- BERNAMA-IRNA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan