DUNIA > BERITA

Kerajaan Korea Selatan, Parti Pemerintah Sepakat Beri Bantuan Kewangan Galak Hospital Buka Semasa Cuti Chuseok

12/09/2024 07:24 PM

SEOUL, 12 Sept (Bernama-Yonhap) -- Kerajaan Korea Selatan dan parti pemerintah, People Power Party (PPP), pada Khamis bersetuju mengenai langkah bantuan kewangan untuk menggalakkan kira-kira 8,000 hospital dan klinik kejiranan menerima pesakit semasa cuti Chuseok yang akan datang di tengah-tengah mogok berpanjangan oleh doktor, lapor Agensi Berita Yonhap.

Kedua-dua pihak mencapai persetujuan itu semasa mesyuarat pegawai kerajaan dan Ahli Parlimen PPP di Perhimpunan Kebangsaan, di tengah-tengah kebimbangan mengenai perkhidmatan perubatan kecemasan semasa cuti lima hari itu berikutan mogok yang dilakukan oleh doktor muda, menurut Kim Sang-hoon, pembuat dasar tertinggi PPP.

Kerajaan dan PPP turut bersetuju untuk mempercepatkan usaha mereka dalam meluluskan akta khas bagi membantu doktor meringankan tanggungjawab mereka terhadap kemalangan perubatan.

Sebilangan besar doktor pelatih telah meninggalkan tempat kerja mereka sejak Februari sebagai protes terhadap keputusan kerajaan untuk menaikkan kuota kemasukan ke sekolah perubatan dengan ketara, menyebabkan hospital utama terpaksa mengurangkan pembedahan dan rawatan lain.

Mogok berpanjangan itu telah menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan gangguan perkhidmatan perubatan semasa cuti Chuseok, dari 14 hingga 18 Sept.

Semasa mesyuarat itu, Perdana Menteri Korea Selatan Han Duck Soo turut menggesa komuniti perubatan untuk menyertai badan perundingan empat hala antara kerajaan, parti pemerintah dan pembangkang, serta kumpulan doktor bagi mencari penyelesaian terhadap mogok yang berpanjangan itu.

-- BERNAMA-YONHAP

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan