DUNIA > BERITA

Jubli Emas: Mexico Dan Malaysia Ikrar Kukuhkan Hubungan

12/09/2024 10:39 PM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Mexico dan Malaysia menyatakan komitmen mereka untuk meningkatkan hubungan dua hala ke tahap yang lebih tinggi semasa sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Mexico-Malaysia hari ini.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Mexico terjalin pada 27 Mac 1974.

Duta Besar Mexico ke Malaysia, Luis Javier Campuzano Pina berkata bahawa dalam tempoh lima dekad yang lalu, hubungan antara Mexico dan Malaysia telah berkembang dalam bidang perdagangan, pendidikan dan diplomasi kebudayaan.

“Semoga hubungan antara Mexico dan Malaysia terus berkembang,” katanya semasa sambutan anjuran Kedutaan Mexico di Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian benua Amerika Kementerian Luar Negeri Malaysia, Datuk Yubazlan Yusof yang mewakili kerajaan Malaysia pada majlis itu berkata bahawa Malaysia dan Mexico meraih banyak manfaat daripada kerjasama politik, ekonomi dan budaya.

“Jubli emas ini adalah satu perayaan komitmen bersama dan peluang bagi kedua-dua negara untuk meneroka peluang baharu berdasarkan asas kukuh yang berterusan," katanya.

Menurut Yubazlan, kerajaan Malaysia menghargai kerjasama berterusan Mexico dan berharap agar sambutan ini akan memberi inspirasi kepada hubungan yang lebih erat pada masa depan.

Semasa sambutan itu, tetamu disajikan dengan masakan Mexico dan persembahan kebudayaan dari Mexico dan Malaysia.

Kedutaan Malaysia di Mexico ditubuhkan pada 1992.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan