DUNIA > BERITA

Kemuncak Lawatan Negara Paus Francis Ke Singapura , 50,000 Orang Hadiri Misa Paus

12/09/2024 11:05 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 12 Sept (Bernama) -- Kira-kira 50,000 orang berhimpun di Stadium Nasional di sini pada Khamis bagi menghadiri Misa Paus, satu perhimpunan keagamaan sempena lawatan negara Paus Francis ke republik ini.

Antara yang hadir termasuk 2,600 pelajar tadika hingga kolej, 310 migran, 1,000 ahli kariah warga emas, 250 pengguna kerusi roda, dan 3,000 penganut Katolik dari negara-negara Persekutuan Persidangan Uskup Asia (FABC).

Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong turut menghadiri misa itu.

Paus Francis, 87, tiba di stadium pada pukul 4.30 petang dan mengelilingi kawasan itu dengan Popemobile  sambil menyapa para penganut di sepanjang laluan.

Ketua Kota Vatican dan Gereja Katolik itu kemudiannya memimpin misa suci, diiringi oleh 280 paderi dan 50 uskup serta kardinal yang turut serta dalam upacara keagamaan itu.

Dalam khutbahnya, Paus mengingatkan penganut mengenai kepentingan kasih sayang, solidariti dan kemurahan hati. 

“Jika ada apa-apa yang baik wujud dan kekal di dunia ini, ia hanya kerana dalam pelbagai keadaan, kasih sayang telah mengatasi kebencian, solidariti mengatasi ketidakpedulian, dan kemurahan hati mengatasi sikap pentingkan diri,” katanya.

Acara itu turut disiarkan secara langsung di saluran YouTube   Archdiocese Roman Katolik Singapura.

Paus, yang tiba di republik ini pada Rabu untuk menamatkan lawatan 12 hari ke Asia Pasifik yang merangkumi Indonesia, Papua New Guinea, dan Timor Leste, telah diberikan sambutan rasmi di Bangunan Parlimen.

Beliau juga mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam dan bertemu dengan Perdana Menteri Wong.

Pada Jumaat, beliau akan melawat sekumpulan warga emas dan pesakit di Rumah Saint Theresa, diikuti pertemuan antara agama bersama belia di Catholic Junior College.

Paus Francis dijadual berlepas dari Singapura pada pukul 11.50 pagi Jumaat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan