DUNIA > BERITA

Ahli Politik Veteran India Sitaram Yechury Meninggal Dunia

12/09/2024 11:12 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 12 Sept (Bernama) -- Ahli politik veteran India, Sitaram Yechury meninggal dunia pada usia 72 tahun ketika menjalani rawatan jangkitan paru-paru di New Delhi pada Khamis.

Yechury merupakan tokoh utama pembangkang dan pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Parti Komunis India (Marxist).

Pemimpin parti, Hannan Mollah berkata Yechury  menerima rawatan di Institut Sains Perubatan Seluruh India (AIIMS).

Pihak hospital memaklumkan bahawa beliau dimasukkan ke hospital pada 19 Ogos dengan radang paru-paru dan meninggal dunia pada petang Khamis.

Pelbagai parti politik dan pemimpin mereka memberikan penghormatan kepada Yechury, memuji sumbangannya dalam perdebatan mengenai isu-isu utama.

Rahul Gandhi, Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat India, mengingati Yechury sebagai "seorang pelindung idea India dengan pemahaman mendalam mengenai negara kita."

Yechury memainkan peranan dalam usaha penyatuan pembangkang.

"Perkhidmatannya selama bertahun-tahun dan dedikasinya kepada negara perlu diberi penghormatan yang tinggi. Yang paling penting, beliau seorang manusia yang baik hati yang membawa keseimbangan dan kelembutan dalam dunia politik yang keras," kata Priyanka Gandhi Vadra, seorang tokoh penting dalam parti pembangkang utama, Kongres.

Dilahirkan di Chennai pada 1952, Yechury aktif dalam politik Delhi dan sering menghadiri persidangan serta acara awam di bandar raya itu.

Pesaing politiknya juga mengingati beliau sebagai seorang yang mesra dalam perhubungan.  

Ahli Parti Bharatiya Janata (BJP) dan Menteri Perdagangan India Piyush Goyal berkata Yechury sentiasa bersikap baik semasa berinteraksi antara mereka walaupun ideologi politik mereka berbeza.

Yechury meninggalkan seorang isteri yang juga wartawan, Seema Chishti, seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan