DUNIA > BERITA

Putin Puji Pencapaian BRICS Dalam Memupuk Kerjasama Keselamatan

13/09/2024 12:23 AM

MOSCOW, 12 Sept (Bernama-Anadolu) -- Presiden Rusia, Vladimir Putin, pada Khamis memuji pencapaian BRICS dalam memupuk kerjasama keselamatan dalam kalangan anggotanya, lapor Agensi Anadolu (AA).

Bercakap pada mesyuarat wakil-wakil peringkat tinggi BRICS mengenai isu-isu keselamatan di St. Petersburg, Putin menekankan penubuhan daftar elektronik khas untuk berkongsi data mengenai serangan siber dan insiden sebagai salah satu pencapaian utama kumpulan itu.

"Keputusan untuk menubuhkan Majlis BRICS bagi memerangi pembiayaan keganasan dan pengubahan wang haram kini di peringkat akhir. Pada Julai, sesi pleno kesembilan kumpulan kerja mengenai pembanterasan keganasan diadakan di Moscow, menghasilkan keputusan yang positif," kata Putin.

Dalam usaha memerangi rasuah, beliau berkata negara-negara BRICS atas inisiatif Rusia telah meluluskan pendekatan bersama untuk membanteras rasuah serta mendapatkan kembali aset dan pendapatan yang diperoleh melalui aktiviti haram.

"Kerjasama antara negara BRICS dalam memerangi jenayah berkaitan dadah juga semakin meningkat. Semasa mesyuarat kumpulan kerja antidadah pada Mei, persetujuan dicapai untuk meningkatkan usaha mencegah penggunaan teknologi maklumat dan sistem pembayaran maya dalam pengedaran dadah," katanya.

BRICS, yang diasaskan pada 2009 dengan penyertaan Brazil, Rusia, India, dan China, berkembang pada 2011 dengan kemasukan Afrika Selatan. Walaupun kumpulan itu telah diperluas dengan penyertaan enam negara baharu pada Disember 2023, keputusan kolektif diambil untuk mengekalkan nama asal BRICS.

Rusia, yang memegang jawatan presiden bergilir kumpulan itu pada 2024 akan menganjurkan Sidang Kemuncak BRICS ke-16 di Kazan dari 22 hingga 24 Okt.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan