DUNIA > BERITA

Kru Polaris Dawn Berjaya Laksana Pengembaraan Angkasa Lepas Swasta Pertama

13/09/2024 02:21 AM

WASHINGTON, 12 Sept (UPI) -- Pengembaraan angkasa lepas swasta pertama di luar Bumi berjaya dilaksanakan apabila peminat angkasa lepas dan komander penerbangan angkasa Polaris Dawn, Jared Isaacman, serta Jurutera SpaceX, Sarah Gillis, menghabiskan masa di luar kapal angkasa Dragon pada pagi Khamis, lapor United Press International (UPI).

Namun, Isaacman dan Gillis tidak hanya menikmati pemandangan Bumi dan angkasa lepas yang menakjubkan dari kapal angkasa. Mereka juga melakukan ujian terhadap sut angkasa baharu SpaceX untuk melihat sama ada sut yang lebih ringan dan ditambah baik ini bersedia untuk menghadapi cabaran-cabaran angkasa lepas.

"SpaceX, di bumi kita masih banyak kerja yang perlu dilakukan, tetapi dari sini ia kelihatan seperti dunia yang sempurna," kata Isaacman ketika berdiri di luar Dragon sambil merenung kembali ke arah Bumi.

Isaacman dan Gillis keluar dari Dragon seorang demi seorang, masing-masing selama kira-kira 15 minit. Keseluruhan kru memakai sut angkasa EVA baharu SpaceX, yang direka supaya ringan dan lebih fleksibel sambil memberi perlindungan kepada manusia daripada persekitaran yang sukar di luar Bumi.

Memandangkan kapal angkasa Dragon tidak mempunyai sendat udara, bahagian dalamannya terdedah sepenuhnya kepada vakum angkasa semasa pengembaraan angkasa lepas. Juruterbang Scott "Kidd" Poteet dan ahli kru Anna Menon turut memakai sut angkasa mereka.

Kamera yang dipasang di dalam dan di luar Dragon, bersama kamera lain yang dipasang pada sut angkasawan memberikan pandangan unik mengenai angkasa dan Bumi, yang berada kira-kira 322 kilometer (km) lebih tinggi daripada Stesen Angkasa Antarabangsa.

Angkasawan swasta ini meninggalkan Bumi pada Selasa dari Pusat Angkasa Kennedy dengan menaiki roket Falcon 9 SpaceX. Kru berjaya mencapai matlamat pertama mereka pada Rabu untuk mengorbit pada ketinggian 1,400 km  di atas Bumi.

Misi angkasa swasta ini telah mencipta rekod dengan mencapai orbit paling jauh mengelilingi Bumi sejak era Apollo serta pencapaian wanita berada paling jauh di angkasa lepas.

Polaris Dawn dan kapal angkasa Dragon akan kembali ke Bumi di mana mereka dijadualkan mendarat di Lautan Atlantik.

-- BERNAMA-UPI


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan