DUNIA > BERITA

Microsoft Mansuh 650 Pekerjaan Di Jabatan Xbox Gaming

13/09/2024 02:49 AM

ISTANBUL, 12 Sept (Bernama-Anadolu) -- Microsoft mengumumkan pada Khamis bahawa ia akan memansuhkan 650 pekerjaan di unit permainan Xbox, lapor Agensi Anadolu (AA).

Langkah itu diambil ketika syarikat teknologi yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu menyasarkan untuk mengatur semula perniagaannya bagi "kejayaan jangka panjang", menurut satu memo yang diterbitkan dalam beberapa laporan berita.

Microsoft berkata pekerja yang meninggalkan syarikat akan menerima pakej pampasan merangkumi faedah pemberhentian, penjagaan kesihatan lanjutan dan perkhidmatan bantuan penempatan kerja.

Pakej pampasan akan berbeza di luar AS, bergantung kepada lokasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft Gaming Phil Spencer berkata akan terdapat kesan kepada pasukan lain dalam syarikat itu, kerana "mereka perlu menyesuaikan diri dengan perubahan keutamaan dan menguruskan  kitaran hayat serta prestasi permainan," menurut memo berkenaan.

Langkah ini merupakan kali ketiga Microsoft mengurangkan tenaga kerja dalam bahagian permainan selepas menyelesaikan perjanjian pemerolehan syarikat permainan video Activision Blizzard bernilai US$69 bilion pada Oktober 2023.

Syarikat itu pada akhir Januari tahun ini mengumumkan bahawa ia akan memberhentikan sembilan  peratus daripada bahagian permainan, beberapa bulan selepas perjanjian itu selesai.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan