DUNIA > BERITA

Trump Tidak Akan Sertai Satu Lagi Debat Presiden Bersama Harris

13/09/2024 10:15 AM

Oleh Xiong Maoling, Matthew Rusling

WASHINGTON, 13 Sept (Bernama-Xinhua) -- Bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang juga calon Presiden Parti Republikan pada Khamis mengumumkan bahawa beliau tidak akan menyertai satu lagi debat presiden bersama Naib Presiden Kamala Harris, calon Parti Demokrat.

Dalam hantaran di Truth Social, platform media sosialnya, Trump mendakwa bahawa beliau memenangi debat yang dihoskan oleh ABC News di Philadelphia pada malam Selasa dan menuduh Harris enggan menerima jemputan debat daripada Fox News, NBC News dan CBS News.

Dalam satu hantaran di X, Harris berkata pada Khamis bahawa "kita berhutang kepada para pengundi untuk mengadakan debat sekali lagi."

Kempen Harris juga mendakwa kemenangan dalam debat pertama antara kedua-duanya.

"Naib Presiden Harris menguasai pentas dalam setiap isu yang penting kepada rakyat Amerika," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini.

Tinjauan CNN dalam kalangan pemerhati debat menunjukkan 63 peratus bersetuju bahawa Harris memberikan persembahan yang lebih baik di atas pentas di Philadelphia.

Menurut Fox News, 12 pengundi dalam panel berpendapat Harris memenangi perbahasan itu, manakala lima lagi menganggap Trump sebagai pemenang.

Ramai menyatakan bahawa Trump tidak tahu menyerang lawan baharunya dalam pemilihan presiden.

Satu artikel New York Times menyebut bahawa selepas debat, ramai ahli strategi dan pegawai Demokrat bersorak dengan prestasi Harris, manakala Republikan mengadu tentang "nada soalan" daripada moderator dan mengakui Trump terlepas peluang untuk melancarkan serangan yang lebih berfokus.

"Trump tidak banyak meyakinkan pengundi bahawa beliau mampu menjalankan tugas itu dan pada beberapa ketika kelihatan sangat marah dan kecewa," kata Felo Kanan di Brookings Institution, Darrell West, kepada Xinhua.

Sementara itu, profesor sains politik di Kolej Saint Anselm, Christopher Galdieri berkata bahawa Harris kelihatan sedikit gementar pada awalnya, tetapi kemudian tampil dengan lebih yakin.

“Beliau berhujah bahawa Trump mewakili masa lampau dan pilihan raya ini adalah peluang untuk melangkah ke hadapan," katanya.

Debat itu berlaku secara mendadak, kurang daripada dua bulan selepas Presiden Joe Biden menarik diri daripada pilihan raya presiden 2024 selepas prestasi debat yang mengecewakan, dan Harris mengumumkan niatnya untuk bertanding sebagai presiden. Harris secara rasmi menerima pencalonan Parti Demokrat pada akhir Ogos.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan