DUNIA > BERITA

EU Lanjutkan Sekatan Terhadap Individu Rusia, Ukraine Hingga Mac 2025

13/09/2024 09:23 PM

MOSCOW, 13 Sept (Bernama-Sputnik) -- Kesatuan Eropah (EU) telah melanjutkan sekatan yang dikenakan ke atas individu Rusia dan Ukraine berhubung konflik di Ukraine sehingga pertengahan Mac 2025, lapor Sputnik.

"Keputusan ini akan berkuat kuasa sehingga 15 Mac 2025," menurut dokumen yang diterbitkan dalam Jurnal Rasmi EU pada Jumaat.

Keputusan itu berkuat kuasa serta-merta. Ia melibatkan lebih daripada 2,000 individu dan entiti sah di sisi undang-undang yang dituduh oleh Brussels "melemahkan atau mengancam integriti wilayah, kedaulatan dan kemerdekaan Ukraine."

Langkah-langkah sekatan termasuk larangan perjalanan dan pembekuan aset. Warganegara dan syarikat EU dilarang memberikan sokongan kewangan kepada individu dalam senarai sekatan.

EU telah membatalkan langkah-langkah sekatan terhadap Nikita Mazepin, bekas pelumba Formula 1, dan ibu kepada Evgeny Prigozhin, Violetta. Lima individu yang telah meninggal dunia juga telah dikeluarkan daripada senarai terbabit.

Sekatan individu terhadap warganegara Rusia dan Ukraine kali pertama dikenakan pada Mac 2014 dan dilanjutkan setiap enam bulan. Pakej sekatan terbaru berkuat kuasa pada Jun. Sekatan boleh dirayu di Mahkamah Keadilan EU di Luxembourg. Rusia secara konsisten menyatakan bahawa ia mampu menahan tekanan sekatan itu.

-- BERNAMA-SPUTNIK


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan