DUNIA > BERITA

Halal Park Cambodia Sasar Industri Halal Global

15/09/2024 03:13 PM

PHNOM PENH, 15 Sept (Bernama) -- Kemboja mencontohi rakan-rakan ASEAN yang lain dengan menubuhkan taman halal pintar bagi memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat terhadap makanan, perkhidmatan dan produk halal yang kini menjadi pasaran global bernilai trilion dolar.

Pertumbuhan luar biasa ini didorong oleh peningkatan permintaan terhadap makanan bersih, keutamaan diet yang berubah dan perubahan demografi yang membentuk semula pasaran makanan halal global.

Projek Halal Park Cambodia yang diterajui sektor swasta akan menempatkan negara ini setanding dengan pemain utama serantau lain iaitu Malaysia, Thailand, dan Indonesia yang kini mendominasi pasaran itu.

Pengerusi dan Pengasas Halal Park Cambodia, Mohd Amin Mohd Zain berkata tumpuan awal adalah untuk menubuhkan pusat penyediaan makanan halal atau central kitchen bertingkat dan zon halal khusus dalam kelompok perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan kerjasama Kumpulan Syarikat WorldBridge.

“Inisiatif ini bertujuan untuk memudahkan pembangunan rantaian bekalan halal yang kukuh untuk PKS tempatan, sambil menarik perniagaan antarabangsa untuk melabur dalam pasaran halal Kemboja yang sedang berkembang pesat.

“Dengan menggalakkan pertumbuhan ini, kami berhasrat untuk memperkukuh industri halal di peringkat tempatan dan global,” kata Mohd Amin pada pelancaran di Phnom Penh pada Sabtu.

WorldBridge ialah konglomerat Kemboja yang mempunyai kepentingan dalam pelbagai sektor termasuk hotel, logistik, makanan dan minuman, serta hartanah.

Kesedaran mengenai halal yang semakin meningkat dan pendapatan yang lebih baik telah memacu pasaran domestik yang baharu muncul, dengan lebih dua peratus daripada 16 juta penduduknya beragama Islam di Kemboja.

Pusat Penyelidikan Statistik, Ekonomi dan Sosial untuk Negara-Negara Islam, anak syarikat Pertubuhan Kerjasama Islam melaporkan bahawa saiz pasaran industri halal bernilai US$3.7 trilion pada 2020 dan dijangka meningkat kepada US$4.7 trilion tahun ini.

Permintaan tempatan kebanyakannya tertumpu pada makanan halal dan kosmetik.

Menteri Kanan Misi Khas (Hal Ehwal Islam) Kemboja, Datuk Dr Othsman Hassan berkata komitmen kerajaan jelas dilihat melalui penubuhan jawatankuasa antara kementerian tahun ini bagi mempromosikan sektor itu untuk pasaran domestik dan eksport.

“Kemboja menggunakan rangka kerja zon ekonomi khas untuk menentukan strategi bagi mempromosikan pengeluaran dan eksport produk industri halal ke pasaran dunia.

“Ia membuktikan kesungguhan kerajaan untuk menyediakan insentif, pelepasan cukai dan memudahkan pelaburan.

“Dengan pelancaran Halal Park Cambodia, saya percaya sektor swasta sama ada tempatan atau asing akan terus bekerjasama untuk pertumbuhan dan kemakmuran rakyat kita, khususnya umat Islam yang memerlukan makanan halal dalam kehidupan harian mereka,” kata Othsman.

Zon Ekonomi Khas yang dirancang di atas tanah seluas 267 hektar berhampiran Terusan Funan di Wilayah Kandal akan ditetapkan sebagai taman halal moden.

“Halal Park dalam Zon Perdagangan Bebas (FTZ) akan menikmati insentif khas, dasar pintu terbuka, perlindungan cap dagang dan tiada kawalan modal.

“Halal Park bukan sahaja mengenai pembuatan, tetapi juga memperkasakan masyarakat.

"Mereka adalah aset kepada komuniti kami. Kami memerlukan teknologi, pakar makanan dan saintis untuk membangunkan taman ini. Ia merangkumi aspek sosial serta aspek perniagaan,” kata Pengarah Pembangunan Strategik Halal, Alfien Lizan Khan.

Alfien berkata bahawa kecerdasan buatan, "internet of things" dan blok rantai akan digunakan untuk mewujudkan ekosistem yang boleh dipercayai bagi memperkemas pengeluaran, memantau kualiti dan mengesan makanan halal.

Di ASEAN, Malaysia dan Indonesia merintis taman halal mereka lebih awal untuk meletakkan mereka sebagai pemain utama dalam sektor ini, manakala Thailand merangka rancangan untuk menjadi hab produk halal di ASEAN menjelang 2027.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan