DUNIA > BERITA

Mexico, Malaysia Berpotensi Kerjasama Dalam Pelbagai Bidang Teknologi - Duta

16/09/2024 11:57 AM

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Mexico dan Malaysia mempunyai potensi besar untuk kerjasama yang signifikan dalam pelbagai bidang teknologi, hasil daripada ekosistem inovasi yang semakin berkembang dan kedudukan geografi yang strategik, kata Duta Besar Mexico ke Malaysia, Luis Javier Campuzano. 

Beliau berkata antara bidang teknologi termasuk kilang pintar, pengeluaran robotik, semikonduktor, elektronik, tenaga boleh diperbaharui, teknologi hijau, agroteknologi, bioteknologi, penjagaan kesihatan, aeroangkasa, kecerdasan buatan, pembelajaran mesin serta keselamatan siber.

"Masa depan kerjasama teknologi antara Mexico dan Malaysia menjanjikan merentasi pelbagai sektor. Dengan memanfaatkan kekuatan masing-masing, kedua-dua negara boleh memperdalam hubungan mereka melalui inovasi dan penyelesaian dipacu teknologi," katanya ketika berucap pada majlis sambutan 50 tahun hubungan diplomatik Mexico dan Malaysia 1974-2024 yang diadakan di sini baru-baru ini. 

Menurut Campuzano, walaupun jauh dari segi geografi, perdagangan dua hala Mexico dan Malaysia telah berkembang pesat, mewujudkan peluang untuk perniagaan dan usahawan di kedua-dua negara.

Malaysia telah disenaraikan antara 10 rakan dagang utama Mexico sejak beberapa tahun lepas dengan perdagangan dua hala memuncak pada US$15 bilion pada 2022, katanya. 

Sempena ulang tahun keemasan itu, beliau berkata Mexico berharap untuk memperdalam perkongsiannya dengan Malaysia, untuk mengukuhkan hubungan rakyat dengan rakyat, mewujudkan peluang untuk perniagaan, pelajar dan profesional serta meneroka bidang kerjasama baharu yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Benua Amerika Kementerian Luar Negeri Malaysia, Datuk Yubazlan Yusof yang mewakili kerajaan dalam majlis itu berkata hubungan Malaysia dan Mexico berakar umbi daripada nilai bersama, saling menghormati dan komitmen mendalam untuk memajukan perkongsian dalam pelbagai bidang. 

"Sepanjang lima dekad yang lalu, negara kita telah membina kerangka kerjasama yang teguh dalam mengukuhkan hubungan ekonomi, memupuk pertukaran budaya dan memperjuangkan matlamat bersama di pentas global.

"Mexico telah menjadi rakan dagang utama Malaysia di Amerika Latin sejak dua tahun berturut-turut," katanya. 

Jubli emas ini bukanlah sekadar meraikan pencapaian masa lalu tetapi platform untuk masa depan yang dinamik dengan peluang baharu berdasarkan kejayaan masa lepas kita yang akan membina asas yang lebih kukuh untuk masa depan dan mencetuskan pencapaian lebih besar, katanya.

Hubungan dua hala antara Malaysia dan Mexico telah diwujudkan pada 27 Mac 1974. Sejak itu, pertukaran dalam pelbagai bidang dua hala dan pelbagai hala menunjukkan peningkatan kerjasama antara kedua-dua negara.

Kedutaan Malaysia di Mexico ditubuhkan pada 1992. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan