DUNIA > BERITA

Bernama Hos Mesyuarat Lembaga Eksekutif OANA Ke-54 Di Kuala Lumpur

16/09/2024 04:49 PM

MOSCOW, 16 Sept (Bernama) -- Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan menganjurkan Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Agensi-agensi Berita Asia Pasifik (OANA) ke-54 di Kuala Lumpur pada Februari tahun depan.

Setiausaha Agung OANA Zaman Rezakhani berkata pemilihan Bernama dibuat pada mesyuarat lembaga eksekutif ke-53 yang diadakan di sini.

Beliau juga berkata Agensi Berita Rusia TASS akan menganjurkan perhimpunan agung tahunan organisasi itu pada Jun 2025.

Kali terakhir Bernama menganjurkan mesyuarat lembaga eksekutif pada 2015, dengan tema "Media Sosial dan Cabaran Dihadapi Agensi Berita".

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Nur-ul Afida Kamaludin berkata ia adalah satu penghormatan bagi agensi berita nasional itu untuk diberi peluang menjadi tuan rumah mesyuarat berkenaan.

"Mesyuarat ini adalah tepat pada masanya kerana Malaysia akan memegang jawatan pengerusi ASEAN tahun depan. Ini akan memberi peluang kepada ahli OANA untuk melihat peranan Malaysia dalam menganjurkan pelbagai mesyuarat ASEAN tahun depan," katanya.

OANA ditubuhkan pada 1961 atas inisiatif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk menjamin pertukaran berita secara langsung dan bebas dalam kalangan agensi berita di rantau yang didiami lebih separuh daripada penduduk dunia ini.

OANA, yang meliputi dua pertiga daripada penduduk dunia, kini mempunyai 43 ahli dari 35 negara di seluruh Asia dan Oceania.

TASS, yang meraikan ulang tahun ke-120 tahun ini, turut menganjurkan Sidang Kemuncak Media BRICS sebagai permulaan kepada Sidang Kemuncak BRICS bulan depan di Kazan.

Lebih 200 delegasi dari 45 negara menghadiri sidang kemuncak empat hari di Pusat Dagangan Dunia di sini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan