DUNIA > BERITA

AS Diseru Dorong Israel Laksanakan Resolusi UNSC

17/09/2024 03:29 PM

BEIJING, 17 Sept (Bernama-CMG) -- Amerika Syarikat (AS) diseru untuk bertanggungjawab, memainkan pengaruhnya terhadap pihak berkaitan, mengambil tindakan pragmatik untuk mendorong Israel melaksanakan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan menghentikan operasi ketenteraan dengan segera agar memberikan harapan hidup kepada rakyat Palestin.

Perkara itu dinyatakan oleh Naib Wakil Tetap China ke PBB Geng Shuang ketika berucap pada sesi terbuka Majlis Keselamatan mengenai isu Palestin-Israel pada Isnin.

Menurut Geng, pemberian bantuan oleh Agensi Kerja dan Bantuan PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mengikut mandat Perhimpunan Agung PBB (UNGA) adalah tonggak bantuan kemanusiaan di Gaza, dan kerja itu diteruskan walau pada masa yang paling berbahaya. Setakat ini, seramai 224 kakitangan agensi itu terkorban akibat serangan Israel.

"China menuntut Israel menjalankan penyiasatan terhadap semua kes kematian kakitangan kemanusiaan, dan mengenakan tindakan sewajarnya ke atas pesalah terbabit," tegas Geng.

Beliau berkata pemvaksinan polio secara lancar di Gaza membuktikan bahawa tindakan kemanusiaan boleh diwujudkan tanpa halangan sekiranya pihak terbabit menunjukkan keinginan politik.

Geng berkata China menyeru Israel menghargai nyawa dan tindakan kemanusiaan, mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa, menarik balik sekatan dan membuka semula semua pintu masuk bagi kemasukan barang-barang kemanusiaan.

"Israel didesak menghentikan serangan terhadap pertubuhan kemanusiaan antarabangsa, menyediakan jaminan keselamatan dan kemudahan bagi pelaksanaan langkah-langkah kemanusiaan oleh pertubuhan antarabangsa," kata Geng.

-- BERNAMA-CMG 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan