DUNIA > BERITA

Kajian: Jangkitan Kerintangan Antibiotik Boleh Akibatkan Lebih 39 Juta Kematian Menjelang 2050

17/09/2024 05:20 PM

LONDON, 17 Sept (Bernama-PA Media/dpa) -- Lebih 39 juta orang berisiko meninggal dunia akibat jangkitan disebabkan oleh kerintangan antibiotik menjelang 2050, menurut anggaran terbaharu analisis global, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Penyelidik menggesa tindakan segera diambil untuk melindungi populasi dunia daripada ancaman yang ditimbulkan oleh kerintangan terhadap ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat jangkitan.

Data menunjukkan lebih 1 juta orang meninggal dunia setiap tahun antara 1990 dan 2021 akibat jangkitan yang tidak lagi dapat dirawat oleh antibiotik.

Analisis global terkini oleh projek Global Research on Antimicrobial Resistance (Gram) mendapati bahawa kadar kematian akibat kerintangan antimikrob (AMR) dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah lima tahun menurun sebanyak 50 peratus dalam tempoh ini.

Namun, kematian dalam kalangan mereka yang berusia 70 tahun ke atas meningkat lebih 80 peratus.

Penemuan ini yang diterbitkan dalam jurnal The Lancet menekankan keperluan langkah pencegahan jangkitan, vaksinasi, meminimumkan penggunaan antibiotik yang tidak sesuai, serta penyelidikan terhadap antibiotik baharu untuk mengurangkan kematian akibat AMR menjelang 2050.

Kajian ini juga menganggarkan bahawa seramai 1.91 juta orang boleh meninggal dunia secara langsung akibat AMR pada 2050, peningkatan hampir 70 peratus berbanding 2022.

Dalam tempoh yang sama, jumlah kematian yang melibatkan bakteria AMR dijangka meningkat hampir 75 peratus, iaitu daripada 4.71 juta kepada 8.22 juta kematian setiap tahun.

AMR berlaku apabila bakteria dan penyakit mengalami mutasi dan tidak lagi bertindak balas kepada ubat-ubatan yang direka untuk merawat jangkitan.

Ketua penyelidikan, Mohsen Naghavi dari Institut Metrik Kesihatan (IHME), Universiti Washington, AS, berkata bahawa peningkatan kerintangan terhadap ubat antimikrob merupakan ancaman kesihatan global yang membimbangkan.

Beliau menambah bahawa penemuan ini menunjukkan AMR kini menjadi ancaman kesihatan global selama beberapa dekad dan ancaman ini semakin berkembang.

Anggaran terbaharu kajian ini melibatkan 22 patogen, 84 kombinasi patogen-ubat dan 11 keadaan jangkitan (termasuk meningitis dan jangkitan darah) dalam kalangan penduduk di 204 negara dan wilayah.

Anggaran itu dibuat berdasarkan pelbagai sumber seperti data hospital, rekod kematian dan data penggunaan antibiotik.

Stein Emil Vollset dari Institut Kesihatan Awam Norway berkata bahawa menjelang 2050, jangkitan kerintangan antibiotik boleh mengakibatkan kira-kira hampir 8 juta kematian setiap tahun.

Bagi mengelakkan senario buruk seperti ini, strategi baharu diperlukan termasuk vaksin, ubat-ubatan baharu, penjagaan kesihatan yang lebih baik serta akses kepada antibiotik yang sedia ada dan garis panduan penggunaan yang lebih efektif, katanya.

Sementara itu, Colin Brown, Timbalan Pengarah dari UKHSA berkata bahawa laporan ini menjadi peringatan bahawa kerintangan antibiotik adalah ancaman global yang memerlukan tindakan segera.

Penyelidik menjangkakan angka kematian akibat AMR akan meningkat secara berterusan dalam dekad yang akan datang, dengan peningkatan ketara dalam jumlah kematian pada 2050 berbanding 2021.

Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) menyifatkan AMR sebagai antara ancaman utama kesihatan awam dan pembangunan utama global.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan