DUNIA > BERITA

Sambutan Hari Malaysia Di Namibia Perkukuh Hubungan Dua Hala

17/09/2024 05:29 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Namibia pada Isnin menganjurkan sambutan Hari Malaysia ke-61 di ibu negara Namibia, Windhoek dengan kehadiran lebih 120 tetamu termasuk pegawai-pegawai kerajaan, para diplomat dan ahli perniagaan.

Turut hadir pada sambutan itu ialah Timbalan Menteri Perhubungan Antarabangsa dan Kerjasama Namibia, Jennely Matundu.

Selain upacara menaikkan bendera, para tetamu turut dihiburkan dengan persembahan muzik termasuk persembahan pemain biola yang memainkan lagu-lagu patriotik Malaysia dan dijamu dengan pelbagai hidangan masakan Malaysia.

Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Namibia, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya dalam ucapannya mengetengahkan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, iaitu "Jiwa Merdeka".

"‘Jiwa Merdeka’ mencerminkan kebebasan rakyat daripada unsur negatif dan memupuk semangat patriotik melalui aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi yang akhirnya menyumbang kepada perpaduan yang kukuh, harmoni dan progresif dalam kalangan rakyat," katanya.

Mohamad Rameez turut menyentuh mengenai hubungan dua hala antara Malaysia dan Namibia, yang semakin diperkukuh melalui penubuhan misi diplomatik tetap di kedua-dua negara sejak 1995.

"Hubungan dua hala antara Malaysia dan Namibia wujud sebelum 1990, dan Malaysia memberikan sokongan politik yang kuat kepada Namibia semasa perjuangannya untuk kemerdekaan. Selepas kemerdekaan Namibia pada 1990, hubungan ini diperkukuh lagi melalui hubungan politik yang erat, khususnya dalam konteks kerjasama Selatan-Selatan.

"Sejak penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Namibia pada 1990, kerjasama dua hala antara kedua-dua negara telah berkembang dengan baik.

“Kerjasama ekonomi dan integrasi menjadi antara bidang utama dalam kerjasama Malaysia-Namibia. Kedua-dua negara juga bekerjasama rapat di pelbagai forum multilateral," katanya.

Mohamad Rameez turut mengumumkan bahawa kerajaan Malaysia berikrar untuk menyumbangkan NAD710,000 di bawah Tabung Bantuan Bencana Wisma Putra bagi membantu Namibia menangani isu kemarau yang serius.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan