DUNIA > BERITA

Malaysia Gesa Hadkan Kuasa Veto UNSC, Tuntut Pelaksanaan Resolusi Palestin

26/09/2024 08:50 AM

Daripada Nabilah Saleh

NEW YORK, 25 Sept (Bernama) -- Malaysia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk mengehadkan kuasa veto yang tidak terkawal kerana ia berupaya menghalang usaha damai khususnya dalam melibatkan isu Palestin.

Berucap semasa sesi Debat UNSC pada Rabu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa kuasa veto tidak sepatutnya digunakan untuk menghalang resolusi yang bertujuan menegakkan undang-undang antarabangsa dan melindungi orang awam yang tidak bersalah.

“Di mana-mana, persoalan yang sama bergema: Adakah PBB terlalu rapuh untuk diperbetulkan?

"Jawapannya ‘Tidak’, kerana sebenarnya masih ada satu jalan untuk memperbetul PBB. Kuasa veto mesti dihadkan,” kata Mohamad yang mewakili Malaysia pada debat bertemakan “Leadership for Peace: United in Respect of the UN Charter, In Search of a Secure Future.”

Turut hadir dalam debat itu ialah wakil Slovenia ke Majlis Keselamatan, Samuel Žbogar yang juga selaku Presiden UNSC untuk September.

Mohamad turut menggesa Majlis Keselamatan untuk menyokong sepenuhnya pelaksanaan Resolusi ES-10/24, yang diterima pakai oleh Perhimpunan Agung pada 18 Sept.

Beliau menyifatkan resolusi itu sebagai langkah penting ke arah menegakkan keadilan untuk Palestin dan menegaskan bahawa Majlis Keselamatan tidak boleh membiarkan ia terjejas oleh penggunaan kuasa veto.

“Kami menuntut agar Majlis ini menyokong pelaksanaan penuh resolusi itu,” kata Mohamad.

Beliau turut menyuarakan keprihatinan Malaysia berhubung konflik di selatan Lubnan yang mengorbankan lebih 500 nyawa setakat ini.

Perhimpunan Agung PBB menerima pakai resolusi A/RES/ES-10/24, menuntut agar Israel menghentikan kependudukan haramnya di wilayah Palestin dalam tempoh 12 bulan, selaras dengan pendapat dan nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Dengan 124 negara menyokong, undian itu mencerminkan sokongan kuat masyarakat antarabangsa terhadap keadilan dan hak asasi manusia.

Namun, 14 negara menolak resolusi itu, manakala 43 negara berkecuali, menurut badan dunia itu di laman sesawang rasminya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan