DUNIA > BERITA

Mohamad Hasan Seru Diaspora Malaysia Jadi "Duta" Untuk Promosi Negara

27/09/2024 01:05 PM

Daripada Nabilah Saleh

NEW YORK, 27 Sept (Bernama) -- Dalam pertemuan bersama diaspora Malaysia di New York pada Khamis, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru rakyat Malaysia di luar negara untuk memainkan peranan sebagai “duta” dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi utama perdagangan, pelaburan dan pelancongan.

Bercakap di Majlis Malam Diaspora Malaysia di New York yang diadakan di Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mohamad berkata walaupun diplomasi tradisional kekal penting, Malaysia perlu memberi tumpuan yang lebih kepada diplomasi perdagangan dan pelaburan.

Beliau menekankan kepentingan meletakkan Malaysia pada kedudukan yang mampu menarik lebih banyak pelaburan global, terutamanya dalam sektor berimpak tinggi selaras dengan objektif dasar luar negara.

“Kita nak supaya diplomasi perdagangan dan pelaburan negara kita kembali ke tangga teratas. Kalau kita nak menuju ke tempat kedua ataupun pertama (dalam ASEAN), kita perlu tingkatkan daya saing negara.

“Malam ini saya mentauliahkan semua menjadi duta kecil Malaysia. Sebarkan bahawa Malaysia adalah negara yang perlu dilawati, supaya kita semua dapat melihat Malaysia jauh lebih baik dari hari ini,” kata Mohamad.

Menteri itu turut menekankan keperluan untuk menarik industri yang memberi nilai tambah kepada ekonomi dan memberi tumpuan kepada sektor yang sejajar dengan pertumbuhan jangka panjang, berbanding bergantung kepada kos rendah.

Menyentuh mengenai dasar luar Malaysia, Mohamad mengesahkan kedudukan Malaysia sebagai negara berkecuali yang terbuka kepada hubungan baik dengan semua negara, termasuk Amerika Syarikat dan China.

Beliau menekankan kepentingan mengekalkan keseimbangan dalam hubungan ini, terutamanya dalam aspek pelaburan.

Acara ini, yang diadakan sempena lawatan Mohamad ke New York untuk mewakili Malaysia di sesi ke-79 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), bertujuan mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan rakyatnya di luar negara, serta menggalakkan mereka menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan negara.

Ini adalah kali pertama beliau menghadiri UNGA sejak dilantik sebagai Menteri Luar pada Disember 2023, dan beliau dijadual menyampaikan Kenyataan Negara semasa Debat Umum Peringkat Tinggi pada 28 September.

Turut hadir pada acara itu ialah Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Dr Ahmad Faisal Mohamad dan Konsul Jeneral Malaysia di New York, Amir Farid Abu Hasan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan