DUNIA > BERITA

Suara Untuk Perubahan: Desakan Malaysia Di PBB Mengenai Veto, Islamofobia, Dan Palestin

29/09/2024 03:11 PM

Daripada Nabilah Saleh

(Penulis Kanan Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama Nabilah Saleh yang membuat liputan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79 di New York yang berakhir pada Sabtu, merumuskan perhimpunan selama seminggu yang menonjolkan pendirian tegas Malaysia terhadap kuasa veto, Islamofobia, dan Palestin.)

NEW YORK, 28 Sept (Bernama) -- Kehadiran Malaysia di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79 tahun ini telah ditandai dengan beberapa siri kenyataan berani, dengan tumpuan kepada keadilan untuk Palestin, mereformasi PBB dan menangani krisis di Myanmar ketika negara itu bersiap sedia untuk menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025.

Dalam ucapannya pada Debat Umum UNGA pada Sabtu, Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan membuat rayuan tegas untuk pelaksanaan penuh Resolusi ES-10/24, menggesa Majlis Keselamatan PBB (UNSC) bertindak tegas untuk menghentikan aktiviti penempatan haram Israel di Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT).

Mohamad menekankan sokongan padu masyarakat antarabangsa terhadap resolusi itu dan menegaskan bahawa ia mewakili kehendak antarabangsa untuk mencapai keadilan bagi rakyat Palestin.

Bagaimanapun, beliau turut menegaskan bahawa ketidakupayaan UNSC untuk bertindak yang sebahagian besarnya disebabkan kuasa veto anggota tetap tertentu, terus menghalang kemajuan.

"Kami mendesak Majlis ini menyokong pelaksanaan penuh Resolusi itu," kata Mohamad Hasan, mendesak tindakan segera bagi menyelesaikan konflik yang berlarutan di Gaza dan wilayah yang diduduki secara lebih meluas.

Beliau seterusnya mengkritik UNSC kerana gagal melaksanakan peranannya mengikut Piagam, mengaitkan keganasan yang berterusan di Gaza dan Lubnan secara langsung dengan kelemahan Majlis itu.

Pembaharuan PBB merupakan satu lagi fokus utama mesej Malaysia di UNGA.

Mohamad menyeru agar pembaharuan terhadap kuasa veto UNSC dilakukan dengan segera yang menurutnya telah lama menghalang usaha keamanan global.

"Kuasa veto mesti dihadkan. Dunia sedang memerhatikan ketika Majlis Keselamatan bergelut untuk membebaskan dirinya daripada kebuntuan, di mana satu suara boleh menolak majoriti dan menyokong pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berterusan," tambahnya, sambil menyatakan kekecewaan yang semakin meningkat dalam PBB terhadap ketidakmampuan Majlis itu bertindak tegas dalam isu-isu kritikal, dari Palestin hingga konflik global lain.

Selain isu Palestin, Malaysia turut memberi perhatian kepada krisis di Myanmar, di mana keganasan berterusan dan krisis kemanusiaan terus membelenggu negara yang diperintah oleh junta itu.

Ketika Malaysia bersiap sedia untuk mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025, Mohamad menegaskan komitmen negara untuk menangani isu Myanmar melalui rangka kerja ASEAN.

Mohamad turut menekankan kepentingan mekanisme TROIKA ASEAN yang terdiri daripada Laos, Indonesia dan Malaysia, dalam usaha mencari penyelesaian bersama.

Beliau juga menegaskan bahawa kerjasama global, termasuk sokongan daripada kuasa besar dan organisasi antarabangsa seperti PBB dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) adalah penting dalam menyelesaikan krisis yang disifatkannya sebagai cabaran yang melangkaui sempadan Myanmar.

"Kita tidak boleh kekal pasif kerana Myanmar juga sedang menjadi tumpuan bagi pengedaran dadah, penipuan pekerjaan, dan perjudian dalam talian.

"Isu-isu ini tidak lagi bersifat dalaman tetapi mempunyai kesan yang meluas kepada rantau ini," katanya sambil menekankan keperluan untuk pendekatan ASEAN yang kolektif dalam menangani krisis itu.

Walaupun kenyataan negara Malaysia di UNGA penting, penglibatan Mohamad di luar sidang kemuncak global itu adalah sama penting.

Dalam pertemuan dengan diplomat utama dan pihak berkepentingan antarabangsa, Menteri Luar membincangkan cara untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan membina sokongan global terhadap pendirian Malaysia mengenai Palestin, Islamofobia dan kepimpinan ASEAN.

Pertemuan-pertemuan sampingan itu walaupun sering diabaikan adalah penting dalam mengukukuhkan pengaruh diplomatik Malaysia dan mendapatkan sokongan untuk inisiatifnya di peringkat global.

Sepanjang minggu ini, Mohamad mengadakan pertemuan dua hala dengan pemimpin utama dunia, termasuk Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, dan Menteri Luar, Imigresen dan Urusan Ekspatriat Mesir, Dr Badr Abdel Aati.

Semasa lawatannya, Mohamad juga meluangkan masa bersama diaspora Malaysia, berkongsi pandangan mengenai peranan Malaysia di pentas global.

Beliau meninggalkan pesanan yang ikhlas kepada semua rakyat Malaysia, menggesa mereka bertindak sebagai "duta" dengan mempamerkan nilai-nilai Malaysia dan menjalinkan hubungan antara negara dengan dunia.

"Anda adalah wakil Malaysia di luar negara. Bersama-sama, kita boleh mengukuhkan kehadiran negara kita di peringkat antarabangsa," katanya.

Ketika dunia berdepan dengan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, kepimpinan Malaysia dan gesaan untuk bertindak di UNGA79 menandakan pendirian proaktif negara dalam memperjuangkan keadilan, reformasi PBB dan kestabilan serantau.

Dengan jawatan Pengerusi ASEAN Malaysia semakin hampir, Malaysia bersedia memainkan peranan yang lebih besar dalam diplomasi global, memperjuangkan pembaharuan yang menggalakkan keamanan, keselamatan dan kerjasama merentas komuniti antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan