DUNIA > BERITA

Kemboja Anggap Kejayaan Bebas Periuk Api Didorong Sokongan Global Termasuk Malaysia

01/10/2024 04:12 PM

GEORGE TOWN, 1 Okt (Bernama) -- Kemboja kini hampir mencatatkan pencapaian bersejarah untuk bebas periuk api didorong kerjasama globalnya meliputi sokongan dari Malaysia, kata seorang pegawai kanan Kemboja.

Dalam kenyataan, Menteri Kanan Ly Thuch berkata Dewan Perniagaan Malaysia (MBCC) menderma RM334,226.55 untuk membiayai usaha penghapusan periuk api di wilayah Kampong Speu.

"Sumbangan itu adalah sebahagian daripada inisiatif yang lebih besar untuk menyokong visi Kemboja ke arah bebas periuk api,” katanya.

Thuch juga Naib Presiden Pertama Pihak Berkuasa Tindakan dan Bantuan Mangsa Periuk Api Kemboja (CMAA).

Beliau menggesa sektor swasta Malaysia dan rakan antarabangsa yang lain untuk meneruskan sokongan terhadap Kemboja ketika negara itu menghampiri peringkat akhir usaha pembersihan daripada periuk api kerana kalangan syarikat akan terus meraih manfaat daripada ekonomi Kemboja.

Menurut Wisma Putra, pada 2023, Kemboja disenaraikan sebagai rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia di ASEAN.

Perdagangan dua hala Malaysia-Kemboja bernilai RM3.02 bilion, dengan eksport dari Malaysia ke Kemboja meningkat 1.6 peratus kepada RM2.35 bilion pada 2022.

Syarikat Malaysia telah melaksanakan 162 projek di Kemboja, dengan pelaburan bernilai RM14.4 bilion

Pada 25 hingga 29 Nov, 2024, Kemboja akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Siem Reap-Angkor bagi Dunia Bebas Periuk Api untuk membentuk pelan strategik lima tahun pembersihan daripada periuk api dengan 164 negara yang mengambil bahagian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan