DUNIA > BERITA

IRGC Iran Lancar Puluhan Peluru Berpandu Balistik Ke Atas Rejim Israel

02/10/2024 01:19 PM

TEHRAN, 2 Okt (Bernama-IRNA) -- Iran menerusi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mula bertindak balas terhadap Israel dengan melancarkan peluru berpandu balistik  ke atas kawasan Palestin yang diduduki rejim Zionis pada Selasa malam, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

IRGC Iran menyatakan bahawa ia telah mula menyerang sasaran ketenteraan penting dengan puluhan peluru berpandu.

Sebelum ini, tentera Israel mendakwa bahawa Iran telah mula melancarkan peluru berpandu ke kawasan Palestin yang diduduki rejim itu.

Rakaman video dari beberapa bandar di Iran seperti ibu negara Tehran menunjukkan bahawa serangan peluru berpandu telah dilancarkan terhadap entiti Zionis.

Tehran, Isfahan, Tabriz, Shiraz, Khorramabad, Arak dan lain-lain di seluruh Iran menyaksikan pelancaran misil ke udara.

Dalam satu kenyataan, IRGC berkata serangan peluru berpandu itu adalah tindak balas terhadap pembunuhan yang dilakukan oleh Zionis dan jenayah di Palestin dan Lubnan.

"Sebagai tindak balas ke atas pemergian Ismail Haniyeh, Hassan Nasrallah dan Komander IRGC Abbas Nilforushan, kami menyasarkan pusat wilayah yang diduduki," kata IRGC dalam satu kenyataan.

IRGC Iran memberi amaran kepada rejim Israel tentang tindak balas yang lebih hebat jika ia bertindak balas terhadap serangan itu.

“Setelah menahan diri daripada bertindak terhadap pencabulan kedaulatan Iran dalam pembunuhan Ismail Haniyeh oleh rejim Zionis dan hak yang sah untuk mempertahankan diri berasaskan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan  peningkatan jenayah rejim itu dengan sokongan Amerika Syarikat dalam pembunuhan beramai-ramai di Lubnan dan Gaza dan “kesyahidan” Setiausaha Agung Hizbullah  Hassan Nasrallah serta Komander dan Penasihat IRGC di Lubnan Jen   Abbas Nilforushan, IRGC  melancarkan puluhan peluru berpandu,” katanya.

IRGC menyasarkan sasaran penting tentera dan keselamatan di pusat wilayah diduduki, katanya.

Operasi ini dilaksanakan dengan kelulusan Majlis Keselamatan Tertinggi Nasional  serta sokongan Tentera Republik Islam Iran dan Kementerian Pertahanan.

"Jika rejim Zionis bertindak balas secara ketenteraan terhadap operasi ini, yang dilakukan mengikut hak negara ini berasaskan undang-undang dan undang-undang antarabangsa, ia akan menghadapi serangan lebih hebat dan menghancurkan," kata IRGC sebagai amaran

-- BERNAMA-IRNA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan