DUNIA > BERITA

Festival Amerika Latin Malaysia Bukti Pertukaran Budaya Dan Persahabatan

06/10/2024 05:44 PM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Festival Amerika Latin di Malaysia yang kini memasuki edisi ke-15 berdiri sebagai bukti keindahan pertukaran budaya, persahabatan dan perpaduan antara Amerika Latin dan Malaysia, menurut Dean Kedutaan Negara Amerika Latin di Malaysia, Ary Norton de Murat Quintella.

Bercakap pada festival itu pada Ahad, Quintella yang juga Duta Besar Brazil ke Malaysia menekankan acara berkenaan sebagai jambatan untuk memperdalam persefahaman dan memupuk penghargaan bersama antara negara Amerika Latin dan Malaysia.

Beliau menyatakan bahawa festival itu juga meraikan persamaan antara Amerika Latin dan Malaysia, kedua-duanya kaya dengan biodiversiti dan warisan budaya serta berkongsi semangat yang mesra.

"Rakyat kita terkenal dengan perayaan yang meriah, cintakan muzik dan tarian, serta tradisi masakan yang kaya.

"Sebagaimana Malaysia adalah adunan pelbagai budaya, Amerika Latin pula adalah "rumah kepada mozek indah pengaruh masyarakat peribumi, Afrika, dan Eropah". Kepelbagaian ini memperkaya masyarakat kami dan memupuk rasa perpaduan," tambah Quintella.

Beliau menyatakan harapan agar Festival Amerika Latin di Malaysia akan terus berkembang pada tahun-tahun akan datang dengan setiap edisi mengeratkan ikatan persahabatan antara kedua-dua wilayah.

Bertemakan "Malaysia Meets Latin America", festival itu membawa suasana Amerika Latin ke BB Park di tengah ibu kota hari ini.

Pengunjung berpeluang mencuba dan membeli makanan, minuman, dan kraf dari negara Amerika Latin, termasuk tortilla dan salsa, daging Lomito (sandwic daging lembu halal dari Argentina), serta produk quinoa dari Peru.

Orang ramai juga dihiburkan dengan pelbagai persembahan muzik dan tarian Amerika Latin, seperti Batucada Brazil, tarian folklorik Chile, dan Tango Uruguay.

Acara itu dianjurkan oleh lapan kedutaan Amerika Latin di Malaysia: Argentina, Brazil, Chile, Colombia, Cuba, Mexico, Peru dan Uruguay dengan semua ketua misi mereka hadir.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan