DUNIA > BERITA

Laos Hos AIF 2024, Perkenal Pelan Tindakan Strategik Bagi Pertumbuhan Serantau

07/10/2024 05:58 PM

Daripada Kenny Teng Khoon Hock

VIENTIANE, 7 Okt (Bernama) -- Forum Pelaburan ASEAN (AIF) 2024 di Laos bertujuan melonjakkan ASEAN sebagai destinasi pelaburan utama selain menempa hubungan dengan kalangan pelabur dan ekonomi global.

Antara tumpuan utama AIF 2024 adalah pelancaran Pelan Tindakan Pelaburan Serantau ASEAN (2025-2030).

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Laos Saleumxay Kommasith berkata Pelan Tindakan Pelaburan Serantau ASEAN itu merupakan satu inisiatif penting.

“Pelan Tindakan Pelaburan Serantau ASEAN adalah satu usaha penting untuk meletakkan ASEAN sebagai destinasi pelaburan terpadu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pelan itu menetapkan satu rangka tindakan strategik sebagai panduan ASEAN dalam usaha menarik pelaburan, menggalakkan pembangunan mampan dan seterusnya menyepadukan ASEAN sebagai destinasi pelaburan tunggal di bawah Perjanjian Pelaburan Komprehensif ASEAN dan Rangka Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN 2025.

Sementara itu, Saleumxay turut menekankan kepentingan pelaburan langsung asing (FDI) dalam memajukan pembangunan Laos, khususnya dalam sektor seperti tenaga boleh baharu, infrastruktur dan transformasi digital.

“Laos telah menarik pelaburan asing yang besar dalam projek tenaga hidro, solar dan angin, yang menyumbang kepada matlamat tenaga bersih rantau ini,” katanya.

AIF 2024 dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Perancangan dan Pelaburan Laos, Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN, Sekretariat ASEAN serta Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (ESCAP).

Forum ini mengangkat tema “Investment for Enhancing Connectivity and Resilience” (Pelaburan untuk Meningkatkan Kesalinghubungan dan Daya Tahan) berperanan penting dalam memajukan matlamat penyepaduan ekonomi ASEAN.

Laos sebagai Pengerusi ASEAN 2024 juga pernah menerajui kepengerusian blok itu pada 2016 dan 2004, dan secara rasmi akan menyerahkan tugas itu kepada Malaysia pada 11 Oktober ini.

Ketika Laos bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan dari 8 hingga 11 Oktober ini, kalangan pemimpin dan perwakilan global dijangka bersidang untuk mesyuarat peringkat tinggi.

Antaranya, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka menyampaikan ucapan penting, mengetengahkan perspektif dan keutamaan Malaysia dalam rangka kerja ASEAN.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan