DUNIA > BERITA

ASEAN Perlu Tumpu Perubahan Jangka Pendek Berimpak Tinggi, Beri Nilai Perniagaan Ketara

07/10/2024 08:06 PM

Daripada Rosmalis Anuar

VIENTIANE, 7 Okt (Bernama) -- ASEAN perlu menumpukan langkah perubahan jangka pendek berimpak tinggi yang praktikal dan mampu memberikan nilai perniagaan segera serta ketara untuk meningkatkan kebolehlihatan terhadap blok itu bagi pihak berkepentingan langsungnya.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2026-2030 yang sedang dibangunkan, perlu mencerminkan usaha dan komitmen penyepaduan ekonomi ASEAN ke arah menjadi ekonomi tunggal yang siap siaga untuk masa depan.

Beliau berkata pelan itu juga perlu berasaskan, antara lain, pertumbuhan mampan, teknologi canggih, keterangkuman dan memanfaatkan peluang baharu.

“Sudah pasti, sebuah perancangan itu adalah baik selagi ada sumber yang menyokongnya. Kita perlu menilai sumber semasa kita -- kewangan, manusia dan teknologi -- dan mengenal pasti sokongan tambahan yang mungkin kita perlukan.

“Perkara ini mungkin melibatkan penguntukan semula sumber, mencari perkongsian baharu, atau melabur dalam latihan dan pembangunan untuk memastikan pasukan kita diperlengkap untuk berjaya,” katanya semasa intervensi Malaysia pada Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-24 di sini, pada Isnin.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata ASEAN mesti mewujudkan rangka kerja pemantauan dan penilaian yang kukuh untuk membantu blok itu menjejaki kemajuan yang dicapai ke arah matlamatnya, menggunakan petunjuk prestasi utama untuk mengukur kejayaan dan sentiasa bersedia untuk mengurangkan ketidaktentuan.

“Kita mesti kekal fleksibel, bersedia untuk menyesuaikan strategi kita berdasarkan apa-apa yang kita pelajari sepanjang usaha ini. Penambahbaikan berterusan perlu menjadi pegangan kita,” katanya.

Tengku Zafrul berkata Malaysia dirangsang oleh kemajuan kukuh dalam pembangunan Pelan Strategik AEC, apabila 71 peratus atau 149 daripada 210 langkah strategik meliputi 47 objektif telah diselesaikan.

Sehubungan itu, beliau berkata Malaysia berharap baki 29 peratus itu dapat dimuktamadkan bagi memastikan kejayaan pelaksanaan Pelan Strategik AEC 2026-2030 yang selaras dengan Visi Komuniti ASEAN pada Mei 2025.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata Malaysia juga mengiktiraf kepentingan Agenda Kemampanan ASEAN bagi memperkukuh kedudukan blok serantau itu di tengah-tengah persaingan global untuk mencapai matlamat pelepasan sifar bersih.

Seiring dengan peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada 2025, beliau berkata negara ini juga berharap untuk terus meningkatkan lagi perbincangan dan memastikan pelaksanaan inisiatif-inisiatif kemampanan secara berkesan di rantau itu.

Menyentuh ekonomi kitaran, Tengku Zafrul berkata Malaysia juga maklum dengan kemajuan 67 inisiatif rentas sektor dan tiga inisiatif penting yang dikenal pasti dalam Pelan Pelaksanaan untuk mempercepat peralihan ASEAN kepada ekonomi kitaran bagi mencapai ekonomi yang berdaya tahan, penyumberan cekap serta pertumbuhan inklusif.

“Malaysia melihat kepentingan Kumpulan Fokus Ekonomi Kitaran dalam meningkatkan lagi usaha melaksanakan sepenuhnya 56 inisiatif lain dalam memacu pengoptimuman sumber, mengurangkan penggunaan bahan mentah serta pemulihan sisa,” katanya.

Selain itu, mengulas Pasukan Petugas ASEAN mengenai Neutraliti Karbon, Tengku Zafrul berkata Malaysia menyokong Terma Rujukan (TOR) namun turut menekankan keperluan pasukan berkenaan memastikan kerjasama erat pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pakar industri dan pengamal sektor swasta. 

“Penting bagi ASEAN untuk menarik pelaburan dalam tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga atau teknologi lain yang bersih serta rendah karbon," katanya.

Bagi Garis Panduan Pelaburan Mampan, Tengku Zafrul berkata Malaysia menyokong aspirasi bersama ASEAN untuk menarik pelaburan mampan di masa depan tanpa menjejaskan daya saing ekonominya dan menggesa negara anggota berusaha memuktamadkan garis panduan untuk dilaksanakan pada 2025.

Beliau juga mengulangi komitmen Malaysia untuk mempercepat Pelaksanaan Pelan Bagi Ekonomi Biru yang dijangka dapat dimuktamadkan menjelang Ogos 2025.

Usaha itu penting sebagai panduan untuk memacu negara-negara ASEAN ke arah ekonomi biru yang mampan selain mengutamakan integriti ekologi dan kesejahteraan ekonomi, kata Tengku Zafrul.

Mesyuarat Majlis Komuniti ASEAN (AEC) ke-24 itu diadakan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula esok sehingga 11 Oktober ini.

Pada hari terakhir itu, Laos secara rasmi akan menyerahkan jawatan pengerusi ASEAN kepada Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan