DUNIA > BERITA

Malaysia Fokus Promosi Keamanan, Kestabilan Serantau Di Sidang Kemuncak ASEAN - Duta

07/10/2024 08:46 PM

Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail dan Rosmalis Anuar

VIENTIANE, 7 Okt (Bernama) -- Malaysia akan menumpu kepada usaha mempromosikan keamanan dan kestabilan serantau dalam menghadapi evolusi geopolitik yang kian mencabar semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, di ibu kota Laos.

Duta Besar Malaysia ke Laos Edi Irwan Mahmud berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan menyampaikan kenyataan negara pada sidang kemuncak itu, dijangka turut memberi perhatian kepada integrasi ekonomi serantau, digitalisasi dan teknologi baharu, kecerdasan buatan (AI) dan kesejahteraan rakyat dan warga ASEAN keseluruhannya.

“Isu-isu serantau dan antarabangsa meliputi Laut China Selatan, krisis di Myanmar, isu Gaza dan tindakan Israel di Timur Tengah yang melanggar undang-undang antarabangsa juga akan kita ketengahkan,” katanya kepada media Malaysia bersempena lawatan Perdana Menteri, mengetuai delegasi negara ke sidang kemuncak berkenaan yang akan berlangsung di sini dari 9 hingga 11 Okt.

Edi Irwan berkata Malaysia juga akan terus menyatakan pendirian tegas dan secara membina, berhubung isu Laut China Selatan di pelbagai saluran diplomatik berkaitan termasuk platform ASEAN bagi memastikan hak kedaulatan dan kepentingan negara, kekal terpelihara.

Mengenai konflik di Myanmar, beliau berkata Konsensus Lima Perkara (5PC) akan kekal sebagai rujukan utama ASEAN dalam menangani krisis politik di negara itu dan akan meneruskan usaha memudah cara penyelesaian damai berkekalan di Myanmar, berlandaskan konsensus itu.

Edi Irwan berkata Perdana Menteri akan tiba di Vientiane esok, ditemani isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Anwar juga akan menghadiri sidang kemuncak bersama tujuh Rakan Dialog ASEAN, iaitu Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada, serta Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau berkata Perdana Menteri bersama pemimpin negara ASEAN lain, turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan wakil daripada Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), wakil Belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC) pada 9 Okt.

Edi Irwan berkata penyertaan Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-44 dan Ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan, membolehkan negara menzahirkan komitmen teguh terhadap pelbagai isu seperti visi pembinaan Komuniti ASEAN 2025, hubungan ASEAN dengan rakan kongsi luar, selain isu-isu serantau dan antarabangsa yang kian mencabar.

Mengenai peranan dimainkan sepanjang menjadi pengerusi ASEAN, beliau berkata Laos telah menunjukkan kepimpinan yang baik dalam membawa hala tuju blok serantau itu ke hadapan, selaras dengan tema ‘ASEAN: Memperkukuhkan Kesalinghubungan dan Daya Tahan’.

Edi Irwan berkata fokus itu telah meningkatkan inisiatif perdagangan, pelaburan serta kerjasama yang lebih dinamik, sekali gus mencipta peluang pada semua negara anggota untuk turut mendapat manfaat sama rata daripada pertumbuhan kolektif ASEAN yang berterusan.

“Inisiatif ini penting dalam memastikan ASEAN kekal sebagai sebuah institusi yang relevan dalam mempromosikan kestabilan, pertumbuhan dan kemakmuran serantau,” tambahnya.

Laos sebagai Pengerusi ASEAN 2024 akan menyerahkan jawatan itu kepada Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 semasa majlis penutupan sidang kemuncak berkenaan pada 11 Okt.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan