DUNIA > BERITA

PBB: 250,000 Orang Larikan Diri Dari Lubnan Ke Syria Berikutan Serangan Israel

08/10/2024 03:05 PM

ISTANBUL, 8 Okt (Bernama-Anadolu) -- Kira-kira 250,000 orang menyeberang dari Lubnan ke Syria berikutan serangan yang diperhebatkan oleh Israel, menurut Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) pada Isnin, seperti yang dipetik oleh Agensi Anadolu.

"Saya berada di sempadan Syria-Lubnan, yang menyaksikan seperempat juta orang telah menyeberang sejak 23 September," kata Filippo Grandi di platform X.

Pihak berkuasa tempatan, Bulan Sabit Merah Syria, PBB dan rakan kongsi sedang berusaha secara berterusan untuk memberikan tindak balas yang berperikemanusiaan dan cekap terhadap kemasukan itu, tambahnya.

Pada Sabtu, Grandi tiba di wilayah itu untuk bertemu pegawai, warga Syria dan Lubnan, yang telah melarikan diri dari Lubnan akibat serangan Israel.

Grandi berkata ratusan ribu orang kini berada dalam keadaan daif atau kehilangan tempat tinggal akibat serangan udara Israel.

Israel melancarkan serangan udara besar-besaran di seluruh Lubnan terhadap apa yang didakwanya sebagai sasaran Hizbullah sejak 23 September, mengorbankan 1,251 orang, mencederakan 3,618 yang lain, dan lebih 1.2 juta orang kehilangan tempat tinggal.

Walaupun terdapat amaran antarabangsa bahawa rantau Timur Tengah berada di ambang perang serantau berikutan serangan tanpa henti Israel ke atas Gaza dan Lubnan, Tel Aviv memperluaskan konflik dengan melancarkan pencerobohan darat ke selatan Lubnan pada 1 Oktober.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan