DUNIA > BERITA

Sheikh Theyab Mohamed Lancar Kempen Amal Bantu Lubnan

08/10/2024 03:52 PM

ABU DHABI, 8 Okt (Bernama-WAM) -- Pengerusi "International Humanitarian and Philanthropic Council" Sheikh Theyab Mohamed telah melancarkan kempen amal dalam komuniti Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai solidariti dengan rakyat Lubnan. 

Kempen itu dilancarkan di bawah arahan Presiden UAE Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan dan Naib Presiden Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan.

Dijadual bermula pada Selasa (8 Oktober) dan berlangsung sehingga 21 Oktober di bawah slogan  “The UAE Stands with Lebanon”, kempen itu bertujuan melibatkan komuniti, institusi, serta organisasi sektor awam dan swasta, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).

Bercakap mengenai kepentingan kempen itu, Sheikh Theyab yang juga Timbalan Pengerusi "Presidential Court for Development and Fallen Heroes' Affairs" telah menekankan keutamaan yang diberikan oleh UAE di bawah pimpinan Sheikh Mohamed untuk membantu rakyat Lubnan yang sedang menghadapi situasi kemanusiaan yang sukar.

Beliau menyatakan keyakinannya terhadap komuniti UAE – orang ramai, perniagaan dan institusi – untuk bersama-sama dengan mereka yang menghadapi krisis dan memberikan sokongan kepada mereka.

Pengumuman kempen itu dibuat selepas arahan Sheikh Mohamed mengarahkan pakej bantuan segera bernilai US$100 juta sebagai sebahagian daripada usaha negara itu untuk menyokong rakyat Lubnan.

UAE menghantar enam pesawat yang membawa kira-kira 205 tan bekalan perubatan, makanan, bahan bantuan, dan peralatan perlindungan.

Ini dilakukan dengan kerjasama rakan kongsi antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian, serta Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah.

-- BERNAMA-WAM

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan