DUNIA > BERITA

Mahkamah Daerah Selatan Jakarta Tangguhkan Perbicaraan Sempena "Cuti Solidariti Hakim"

08/10/2024 06:08 PM

JAKARTA, 8 Okt (Bernama) -- Mahkamah Daerah Selatan Jakarta menangguhkan kebanyakan perbicaraan selama seminggu sehingga Jumaat ini sebagai tindak balas kepada “cuti solidariti” yang dianjurkan oleh Solidariti Hakim Indonesia (SHI) bagi memperjuangkan peningkatan syarat bekerja, termasuk kenaikan gaji dan perlindungan undang-undang yang lebih baik.

Sekitar 75 peratus perbicaraan dijadualkan semula pada minggu hadapan, dengan perkara praperbicaraan dan bacaan keputusan diutamakan susulan tarikh akhir penahanan yang semakin hampir, menurut portal berita Kompas.

Hakim-hakim yang tidak mengambil bahagian pula menunjukkan sokongan mereka dengan memakai reben putih semasa sesi mahkamah, sejajar dengan ribuan hakim di seluruh negara dalam tindakan kolektif ini.

Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap SHI Fauzan Arrasyid menyeru kenaikan gaji hakim sebanyak 142 peratus dalam sesi mesyuarat bersama Mahkamah Agung.

Beliau merujuk kepada kajian yang menunjukkan kesan inflasi dan peningkatan kos sara hidup, sambil menekankan bahawa gaji hakim kekal tidak berubah selama 12 tahun.

"Tuntutan daripada hakim di seluruh Indonesia adalah kenaikan 142 peratus dalam elaun mereka daripada paras yang ditetapkan pada 2012," kata Fauzan, dipetik oleh Metro TV.

Beliau juga menekankan keperluan untuk meluluskan Rang Undang-Undang Kehakiman bagi melindungi status dan martabat hakim, serta RUU Penghinaan Terhadap Mahkamah untuk melindungi mereka daripada penghinaan, selain langkah keselamatan yang lebih baik buat hakim yang bertugas.

Sebagai respons, Presiden Joko Widodo yang ditemui di Sidang Kemuncak BNI Investor Daily di Jakarta Pusat pada Selasa berkata bahawa isu itu masih dalam kajian kementerian berkaitan.

"Semuanya masih dalam kajian oleh Kementerian Sistem Negara dan Reformasi Birokrasi, Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia serta Kementerian Kewangan," katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan