DUNIA > BERITA

Karya Agung Sejarah Tajikistan "Ferdowsi's Shanameh" Dipamer Di Perpustakaan Raja Tun Uda

08/10/2024 11:23 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Pameran dan tayangan karya sejarah Tajikistan “Ferdowsi's Shanameh” sedang berlangsung di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam.

Dianjurkan bersama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS), dan Kedutaan Tajikistan di Malaysia, acara itu berlangsung dari Isnin (7 Okt) hingga Khamis (17 Okt).

Pengunjung perpustakaan berpeluang menerokai sejarah, budaya, dan hasil seni Tajikistan melalui pameran ini.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Exco) Belia, Sukan dan Keusahawanan, Najwan Halimi, yang merasmikan acara itu, berkata mereka berkumpul untuk memberi penghormatan kepada seorang daripada penyair dan pemikir terbesar yang terkenal di dunia, Abul Qosim Ferdowsi.

Najwan menekankan bahawa karya abadi Ferdowsi, epik Shahnameh, telah mengubah sejarah dan budaya masyarakat yang berbahasa Parsi selama-lamanya.

Beliau berkata karya Ferdowsi telah memberi kesan yang mendalam terhadap kesusasteraan, seni, dan pemikiran dunia, menjamin nama Ferdowsi kekal dalam kalangan pemikir terhebat dalam sejarah.

"Puisi dalam filem ini mengingatkan kita tentang prinsip yang mengukuhkan masyarakat, dan mesejnya yang kuat mengenai kebaikan, keamanan, dan keadilan terus relevan secara global seperti seribu tahun lalu.

"Kami berbangga mengumumkan satu program budaya terobosan yang akan menyatukan Malaysia dan Tajikistan melalui sambutan seni, filem sejarah, dan pameran budaya yang diadakan di Perpustakaan Raja Tun Uda, mempereratkan pemahaman dan persahabatan antara kedua-dua negara," katanya dalam satu kenyataan.

Turut hadir pada pameran dan tayangan itu ialah Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah.

Festival ini menawarkan peluang kepada pengunjung untuk merasai sendiri kepelbagaian budaya Tajikistan melalui tayangan filem.

Acara ini bukan sahaja menonjolkan penghormatan mendalam terhadap warisan budaya kaya rakyat Tajik, malah melambangkan hubungan budaya yang kuat dan terus berkembang antara negara kita.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan