DUNIA > BERITA

ASEAN Bersedia Untuk Kesalinghubungan Lebih Baik Dengan Peningkatan Kepentingan

09/10/2024 05:55 PM

Oleh Kenny Teng

VIENTIANE, 9 Okt (Bernama) -- ASEAN bersedia untuk daya tahan dan kesalinghubungan yang lebih baik sambil ia mengukuhkan kepentingannya sebagai organisasi antara kerajaan serantau di peringkat global.

Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone menyatakan bahawa sejak penubuhan Komuniti ASEAN pada 2015, ASEAN terus memperkukuh kedudukannya, menjadikannya rantau yang diiktiraf secara meluas serta menarik minat yang semakin meningkat daripada rakan luar.

"Rakan dialog kami kekal teguh dalam sokongan mereka terhadap Pemusatan ASEAN dalam seni bina serantau yang sedang berkembang, termasuk Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP)," katanya semasa ucapan alu-aluannya pada pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) pada Rabu.

Beliau menekankan pengembangan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), dengan lebih banyak negara memohon untuk menyertai perjanjian penting ini.

"Pada masa yang sama, semakin banyak negara dan organisasi serantau terlibat dengan ASEAN dalam pelbagai kapasiti.

"Laos amat percaya bahawa pencapaian ASEAN dibina atas kepercayaan, sokongan dan kerjasama antara Negara Anggota berpandukan cara ASEAN dan prinsip asasnya," kata Sonexay.

ASEAN akan merangkumi semua negara di rantau Asia Tenggara sebaik sahaja Timor-Leste diberi keahlian penuh sebagai anggota ke-11 blok itu.

Delegasi Malaysia ke sidang kemuncak itu diketuai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tiba di Vientiane pada Selasa malam.

Pemimpin ASEAN lain yang menghadiri sidang kemuncak itu termasuk Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah; Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra; Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr.; Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh; Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong; Perdana Menteri Kemboja Hun Manet; Naib Presiden Indonesia Ma’ruf Amin; Setiausaha Tetap Kementerian Luar Myanmar Aung Kyaw Moe.

Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmao turut hadir.

Sementara itu, Presiden Laos Thongloun Sisoulith dalam ucapan pembukaannya berkata tema pengerusi ASEAN tahun ini, “ASEAN: Enhancing Connectivity and Resilience,” selari dengan matlamat ASEAN untuk mempromosikan kesalinghubungan dan daya tahan di seluruh rantau ini.

"Aspirasi kami adalah untuk mengubah Laos daripada negara yang dilingkungi daratan kepada hab hubungan darat bagi kesalinghubungan serantau dan antarabangsa," kata Thongloun.

Beliau turut menekankan bahawa ASEAN, sebagai organisasi antara kerajaan serantau, ditakrifkan oleh kepelbagaiannya dan telah berjaya mengatasi pelbagai cabaran sejak penubuhannya yang memuncak dengan penubuhan Komuniti ASEAN pada 2015.

"Hari ini, ASEAN adalah 'rumah' kepada hampir 700 juta penduduk, menjadikannya ekonomi ketiga terbesar di Asia dan kelima terbesar di dunia. Unjuran menunjukkan bahawa ASEAN akan menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang 2030," tambahnya.

Antara pemimpin dunia yang dijangka hadir ke sidang kemuncak itu ialah Perdana Menteri China Li Qiang, Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken, Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov, Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba dan Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol.

Sidang kemuncak itu akan berakhir pada 11 Oktober, dengan Laos akan menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia.

Pada majlis itu, Perdana Menteri Anwar dijadualkan menyampaikan ucapan, menggariskan visi Malaysia sebagai pengerusi ASEAN seterusnya.

Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan pengerusi ASEAN pada 1 Januari 2025.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan