DUNIA > BERITA

Pemimpin ASEAN Nantikan Penyertaan Penuh Timor-Leste Dalam Keluarga ASEAN - Siphandone:

09/10/2024 08:14 PM

Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail

VIENTIANE, 9 Okt (Bernama) -- Pemimpin ASEAN berpuas hati dengan kemajuan dalam pelaksanaan Hala Tuju untuk Keahlian Penuh Timor-Leste dalam kumpulan serantau itu.

Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone yang mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 (sesi plenari) dan Sidang Kemuncak ke-45 (sesi pemukiman) berkata pemimpin blok itu turut menantikan keahlian penuh negara termuda di Asia Tenggara dalam keluarga ASEAN pada masa akan datang.

Sidang kemuncak yang diadakan di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di ibu negara Laos itu dihadiri oleh semua pemimpin ASEAN, wakil bukan politik dari Myanmar, Setiausaha Agung ASEAN, dan Perdana Menteri Timor-Leste di bawah tema “ASEAN: Meningkatkan Kesalinghubungan dan Daya Tahan”.

Untuk rekod, Timor-Leste setakat ini telah diberikan status pemerhati rasmi dan menerima kelulusan dari segi prinsip untuk menjadi anggota ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 di Kemboja pada 2022.

“Mesyuarat turut membincangkan hubungan ASEAN dengan rakan luar, termasuk hala tuju masa depan, dengan tujuan untuk meningkatkan hubungan dan memperhebat kerjasama dengan rakan luar selaras dengan Cara ASEAN, sambil mengekalkan Pemusatan ASEAN dalam seni bina serantau yang berkembang, sekali gus menyumbang kepada proses pembinaan Komuniti ASEAN serta mengekalkan dan mempromosikan keamanan, kestabilan dan pembangunan di rantau ini dan dunia,” kata Siphandone dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas sesi berakhir.

Beliau berkata Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 menilai pencapaian yang dicapai setakat ini dalam memperkukuh pembinaan Komuniti ASEAN dan menggariskan hala tuju masa depan ASEAN.

Mesyuarat memuji kemajuan dalam pelaksanaan Wawasan ASEAN 2025 dan kejayaan pelaksanaan sembilan keutamaan Pengerusi ASEAN Laos 2024 serta tumpuannya untuk meningkatkan integrasi dan kesalinghubungan serantau dalam ekonomi; mewujudkan masa depan yang terangkum dan mampan; berubah untuk era digital; membangunkan Pelan Strategik untuk melaksanakan Wawasan ASEAN 2045 dengan tujuan membina Komuniti ASEAN yang berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berpaksikan rakyat; meningkatkan daya tahan iklim dan alam sekitar; mempromosikan budaya dan kesenian; memajukan peranan wanita dan kanak-kanak dan memperkukuh daya tahan kesihatan.

Siphandone berkata pelaksanaan bidang keutamaan ini adalah untuk memastikan kesinambungan pengukuhan Komuniti ASEAN ke arah yang lebih bersepadu, berhubungan dan berdaya tahan yang mampu menghadapi pelbagai cabaran mendesak dan merebut peluang untuk memberi manfaat kepada warga ASEAN di tengah perubahan geopolitik dan geoekonomi yang kompleks dan pantas.

Beliau juga berkata semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-44, Presiden Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB), sebagai Tetamu Pengerusi, membentangkan kepada pemimpin tentang pertumbuhan sosioekonomi semasa dan jangkaan masa depan di rantau ini dan dunia, termasuk kerjasama AIIB dengan Negara Anggota ASEAN.

“Pembentangan itu memberikan maklumat berguna sebagai bahan pertimbangan untuk pemimpin ASEAN dalam menggariskan hala tuju masa depan pembinaan Komuniti ASEAN serta dalam menentukan dasar pembangunan sosioekonomi negara masing-masing,” katanya.

Mengenai Sidang Kemuncak ASEAN ke-45 (sesi pemukiman), Siphandone berkata para pemimpin mengadakan perbincangan secara terbuka mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, terutamanya isu mencabar yang dihadapi rantau ini, seperti konflik yang berterusan di pelbagai rantau, kesukaran ekonomi dan kewangan, perubahan iklim, bencana alam, jenayah rentas sempadan, dan lain-lain isu yang mendesak.

Beliau berkata mesyuarat turut membincangkan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara Pemimpin ASEAN mengenai Myanmar dan para pemimpin mengambil peluang untuk memuji peranan Laos sebagai Pengerusi ASEAN untuk terus mengekalkan komitmen ASEAN terhadap pelaksanaan Konsensus Lima Perkara.

“Dalam hal ini, Ulasan dan Keputusan Pemimpin ASEAN Mengenai Pelaksanaan Konsensus Lima Perkara telah diterima pakai,” katanya.

Semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45, pemimpin ASEAN telah menerima pakai 56 dokumen merentasi tiga tonggak Komuniti ASEAN, yang akan menjadi asas penting untuk meningkatkan lagi kesalinghubungan dan daya tahan ASEAN pada masa hadapan.

Malaysia  akan mengambil alih Pengerusi ASEAN daripada Laos secara rasmi  pada 11 Oktober.

Malaysia telah menjadi Pengerusi ASEAN sebanyak empat kali, iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Ditubuhkan pada 8 Ogos 1967, ASEAN kini terdiri daripada 10 negara anggota: Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand, Singapura, dan Vietnam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan