DUNIA > BERITA

La Luna Dipilih Wakili Singapura Dalam Oscar Bagi Filem Cetera Antarabangsa Terbaik

09/10/2024 10:20 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 9 Okt (Bernama) -- La Luna, sebuah filem komedi arahan pengarah Singapura, M. Raihan Halim telah dipilih untuk mewakili  republik ini bagi kategori Filem Cetera Antarabangsa Terbaik di Anugerah Akademi ke-97 pada 2025.

Penguasa Pembangunan Infokom Media Singapura (IMDA) dalam satu kenyataan berkata penerbitan bersama Singapura-Malaysia itu dipilih oleh jawatankuasa pemilihan yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Penasihat Suruhanjaya Filem Singapura (SFC).

La Luna disokong oleh IMDA dan SFC di bawah Program Perkembangan Bakat Media. Filem ini ditayangkan di pawagam Singapura, Malaysia, dan Indonesia pada November tahun lepas.

Filem itu menampilkan barisan pelakon dari Malaysia dan Singapura, termasuk Shaheizy Sam, Sharifah Amani, Wan Hanafi Su, dan Hisyam Hamid.

Ia mengisahkan seorang wanita yang membuka kedai pakaian dalam, "La Luna," di sebuah kampung konservatif di Malaysia.

Dihasilkan oleh Clover Films dan Papahan Films, kedua-duanya syarikat produksi Singapura, bersama syarikat Malaysia ACT 2 Pictures dan One Cool Film, filem ini membuat tayangan perdana dunia di Festival Filem Antarabangsa Tokyo di bawah Seksyen Masa Depan Asia dan turut serta dalam Festival Filem Asia Jogja-Netpac tahun lepas.

Ia turut dipilih sebagai filem penutup di Festival Filem Antarabangsa Rotterdam dan ditayangkan dalam seksyen Panorama Antarabangsa di Festival Filem Antarabangsa Shanghai awal tahun ini.

Penolong Ketua Eksekutif Media, Inovasi, Komunikasi, dan Pemasaran IMDA, Justin Ang, berkata bahawa La Luna adalah bukti hebat terhadap kepelbagaian bahasa dan etnik Singapura yang menghasilkan cerita menarik.

“Kami berbangga dengan M. Raihan Halim serta pasukan produksi dan para pelakon, dan kami menantikan berita baik di Anugerah Oscar 2025,” katanya.

Raihan berkata beliau berasa rendah diri, kagum, dan berbesar hati mewakili Singapura. “Pasukan saya dan saya benar-benar teruja,” katanya.

Sementara itu, pelakon utama Sharifah Amani berkongsi bahawa memegang watak Hanie Abdullah adalah pengalaman yang sangat peribadi buat dirinya.

“Kini, melihat filem ini diiktiraf oleh Singapura sebagai pilihan rasmi mereka untuk Oscar adalah sangat luar biasa. Setiap filem mempunyai kehidupannya sendiri, dan La Luna terasa seperti sebuah karya seni yang lahir daripada semangat dan kerja keras semua yang terlibat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan