BERITA TERGEMPAR   Flood preparation: 459 PPS identified in Kelantan, capable of accommodating more than 100,000 victims - MB | 
 DUNIA > BERITA

Korea Selatan Manfaatkan Pertahanan Dan AI Untuk Jadi Peneraju Keselamatan Global

10/10/2024 03:03 PM

Oleh Voon Miaw Ping

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Korea Selatan kini mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam arena pertahanan dan keselamatan global, dipacu oleh industri pertahanan berteknologi tinggi, kemajuan dalam kecerdasan buatan (AI) dan kerjasama strategik dengan negara-negara sehaluan.

Berdepan dengan ancaman berterusan dari Korea Utara, keupayaan pertahanan Korea Selatan berkembang dengan ketara, meningkatkan peranannya dalam mempromosikan kestabilan serantau dan menangani cabaran keselamatan tradisional serta baharu. Transformasi ini jelas kelihatan dalam pengaruh dan kepimpinannya yang semakin meningkat di arena pertahanan antarabangsa.

Semasa sambutan tahunan Hari Angkatan Bersenjata awal bulan ini, Korea Selatan mempamerkan sistem senjata buatan tempatan yang canggih, termasuk peluru berpandu balistik Hyunmoo-5, menandakan kesediaannya untuk menentang program nuklear dan peluru berpandu Korea Utara yang semakin berkembang.

Inisiatif Inovasi Pertahanan 4.0 Korea Selatan juga mendorong had teknologi ketenteraan. Pada April, negara itu melancarkan Pusat Pertahanan AI untuk menerajui integrasi AI ke dalam strategi pertahanannya, menekankan komitmen terhadap transformasi digital dalam keselamatan.

Pada September, Seoul menjadi tuan rumah bagi tiga persidangan pertahanan dan keselamatan berprofil tinggi—Sidang Kemuncak REAIM ke-2 (Responsible AI in the Military Domain), Dialog Pertahanan Seoul, dan Sidang Kemuncak Siber Korea yang pertama, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai 'negara utama global', satu elemen teras dalam dasar luar Presiden Yoon Suk-yeol.

Baru-baru ini, Menteri Luar Cho Tae-yul menegaskan semula cita-cita Seoul untuk bertindak sebagai "pemudah cara," "penyokong," dan "pemula" bagi keamanan global, tadbir urus teknologi, dan pembangunan norma baharu, terutamanya dalam konteks AI dan keselamatan siber.

Dr. Hoo Chiew Ping, Pengasas Bersama dan Felo Kanan di Kaukus Hubungan Antarabangsa Asia Timur (EAIR), berkata bahawa perjalanan Korea Selatan untuk menjadi 'negara utama global' mencerminkan strategi pengantarabangsaan yang terus berkembang, yang bermula pada 1990-an di bawah inisiatif 'Segyehwa'.

“Visi baharu ini bukan sahaja memperkenalkan Korea Selatan kepada dunia. Ia juga mempamerkan kekuatan Seoul dalam bidang khusus seperti teknologi pertahanan, keselamatan siber, dan integrasi AI dalam ketenteraan,” katanya kepada Bernama.

Menduduki tangga kelima ketenteraan paling berkuasa di dunia dalam Indeks Kuasa Ketenteraan Global 2024, Korea Selatan juga merupakan pengeksport senjata kelapan terbesar, dan bercita-cita untuk menduduki tangga lima teratas menjelang 2027.

Dr. Hoo menekankan bahawa industri pertahanan Korea Selatan berada pada trajektori yang meningkat, dengan negara itu memanfaatkan keupayaan pertahanannya bagi membina perkongsian strategik di peringkat global.

“Eksport senjata Korea Selatan, seperti ke Poland bagi menyokong usaha perang Ukraine menyerlahkan pengaruhnya yang semakin meningkat dalam keselamatan serantau serta keupayaannya untuk memperkukuh ketahanan Timur Eropah terhadap pencerobohan Rusia,” katanya.

Mengulas mengenai sinergi antara dasar luar Korea Selatan, industri pertahanannya, dan keselamatan negara, beliau baerkata bahawa perjanjian pertahanan negara itu terutamanya dalam program jet pejuang dan pembangunan kapal tentera laut adalah instrumen penting dalam memajukan kepentingan strategik negara itu.

Prof. Sheen Seong-ho, seorang pakar keselamatan antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Seoul, bersetuju bahawa Korea Selatan berada dalam kedudukan utama untuk memupuk kerjasama di luar Semenanjung Korea.

“Setelah mengharungi persaingan geopolitik dan sejarah penjajahan yang mencabar, Korea Selatan sentiasa berusaha untuk mewujudkan susunan antarabangsa yang aman dan makmur serta mengekalkan autonominya,” katanya dalam temu bual melalui e-mel.

Beliau menegaskan penglibatan Korea Selatan dalam sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sebagai rakan kongsi utama dalam beberapa tahun kebelakangan ini sebagai bukti profil globalnya yang semakin meningkat.

“Dengan ketidaktentuan yang semakin meningkat dalam landskap geopolitik global, keupayaan pertahanan kukuh Korea Selatan, disokong oleh sistem senjata yang berkualiti tinggi dan kos efektif, boleh meletakkannya sebagai pemain utama dalam kerjasama pertahanan global,” katanya.

Ketika Seoul berusaha untuk meluaskan pengaruhnya dalam keselamatan global, perkongsiannya semakin berkembang di Eropah, Timur Tengah, Oceania, dan Asia Tenggara bagi membina rangkaian komunikasi dan kerjasama yang kukuh.

“Komitmen Korea Selatan terhadap persekitaran keselamatan yang kolaboratif adalah penting dalam mengemudi cabaran kompleks landskap global hari ini,” kata Prof. Sheen.

Melangkah ke hadapan, Korea Selatan berhasrat untuk mengukuhkan hubungan dengan negara-negara sehaluan di Asia Timur khususnya dengan negara anggota ASEAN, sebagai sebahagian daripada strategi lebih luas untuk menyumbang kepada kestabilan dan keselamatan serantau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan