DUNIA > BERITA

Indonesia Sekat Hampir 3.8 Juta Laman Sesawang Perjudian

10/10/2024 07:32 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 10 Okt (Bernama) -- Indonesia telah menyekat akses kepada 3,796,902 laman sesawang perjudian dalam talian dari 17 Julai tahun lepas hingga 9 Oktober sebagai sebahagian daripada usaha membanteras aktiviti haram dan mewujudkan internet yang lebih selamat untuk rakyatnya.

Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya juga telah menyekat 31,751 pautan berkaitan perjudian di laman sesawang institusi pendidikan dan 31,812 pautan di laman sesawang kerajaan.

Menterinya, Budi Arie Setiadi berkata tindakan itu adalah penting.

"Sekatan ini adalah sebahagian daripada pemantauan siber kami yang berterusan,” katanya sambil menambah bahawa terdapat keperluan untuk melindungi kumpulan yang terdedah, khususnya golongan muda daripada bahaya perjudian dalam talian.

Kementerian itu dengan kerjasama Bank Indonesia telah mengambil tindakan terhadap 573 akaun e-dompet yang dikaitkan dengan perjudian dan telah meminta Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan (OJK) menyekat 7,599 akaun bank yang terlibat dalam aktiviti ini.

"Sekurang-kurangnya 21,000 kata kunci berkaitan perjudian telah dilaporkan kepada Google dan lebih 5,793 kepada Meta sebagai sebahagian daripada strategi kami,” tambahnya.

Terdahulu, CNN Indonesia pada Isnin melaporkan bahawa seorang bapa berusia 36 tahun di Jakarta Timur telah ditahan kerana menjual anaknya berusia 11 bulan dengan harga 15 juta rupiah (sekitar US$955) bagi membeli dua telefon bimbit baharu untuk kegunaan harian dan perjudian dalam talian.

Ibu kanak-kanak itu yang bekerja di Balikpapan, Kalimantan Timur memaklumkan kepada pihak berkuasa berhubung insiden berkenaan baru-baru ini.

Pusat Laporan dan Analisis Transaksi Kewangan (PPATK) mendedahkan bahawa transaksi perjudian dalam talian di republik itu mencecah 100 trilion rupiah (kira-kira US$6.4 bilion) pada suku pertama tahun ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan