DUNIA > BERITA

Korea Selatan Kecam Penutupan Rangkaian Jalan Raya, Rel Kereta Api Oleh Korea Utara

10/10/2024 09:53 PM

SEOUL, 10 Okt (Bernama-dpa) -- Korea Selatan mengecam "sekeras-kerasnya" tindakan Korea Utara memutuskan semua rangkaian jalan raya dan rel kereta api dengan negara itu, lapor media tempatan pada Khamis.

Kementerian Penyatuan di Seoul menyifatkan tindakan itu sebagai satu kemunduran terhadap aspirasi penyatuan yang dipegang oleh rakyat kedua-dua negara, menurut Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik Agensi Berita Korea Selatan Yonhap.

Pyongyang mengumumkan rancangan untuk memutuskan semua rangkaian jalan raya dan rel kereta api dengan Korea Selatan pada Rabu, sambil menambah bahawa sempadan itu juga akan diperkukuh dengan "struktur pertahanan yang kukuh," lapor agensi berita kerajaan, KCNA.

Tentera Korea Selatan berkata dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Korea Utara telah meletakkan puluhan ribu periuk api di sepanjang sempadan.

"Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan Korea Utara sebagai satu tindakan antipenyatuan dan antinasional yang menolak aspirasi untuk penyatuan oleh rakyat dan penduduk kami di Korea Utara," kata Kementerian Penyatuan Korea Selatan.

Penutupan rangkaian pengangkutan yang masih ada oleh Korea Utara kebanyakannya bersifat simbolik.

-- BERNAMA-dpa

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan