DUNIA > BERITA

Dua Anggota Pengaman PBB Cedera Dalam Serangan Israel Di Selatan Lubnan

11/10/2024 01:21 AM

BEIRUT, 10 Okt (Bernama-Xinhua) -- Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) pada Khamis memaklumkan bahawa sebuah kereta kebal Israel telah melepaskan tembakan ke arah menara pemerhati di ibu pejabatnya di Naqoura, selatan Lubnan, mencederakan dua anggota pengaman, lapor Xinhua.

“Pagi ini, dua anggota pengaman cedera selepas kereta kebal Merkava Pasukan Pertahanan Israel (IDF) melepaskan tembakan ke arah menara pemerhati di ibu pejabat UNIFIL di Naqoura, mengenai secara langsung dan menyebabkan mereka jatuh,” kata agensi PBB itu dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa kecederaan mereka tidak serius, tetapi anggota berkenaan masih dirawat di hospital.

UNIFIL turut menyatakan bahawa tentera IDF juga melepaskan tembakan ke arah sebuah kedudukan UNIFIL di Labbouneh, mengenai pintu masuk ke bunker tempat anggota pengaman berlindung, serta merosakkan kenderaan dan sistem komunikasi.

Sebuah dron IDF juga dikesan terbang di dalam kawasan UNIFIL hingga ke pintu masuk bunker itu, katanya.

Menurut UNIFIL, tentera IDF sengaja melepaskan tembakan dan merosakkan kamera pengawasan di sekitar lokasi itu pada Rabu.

IDF turut sengaja melepaskan tembakan ke arah pos pemerhati UN 1-32A di Ras al-Naqoura, tempat mesyuarat tiga pihak diadakan secara tetap sebelum konflik, merosakkan lampu dan stesen geganti.

UNIFIL menggesa Israel memastikan keselamatan dan keamanan anggota serta harta benda PBB, sambil menegaskan bahawa "sebarang serangan yang disengajakan terhadap anggota pengaman merupakan pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan 1701."

Sejak 23 September, tentera Israel melancarkan serangan udara besar-besaran yang belum pernah berlaku sebelum ini ke atas Lubnan dalam peningkatan konflik dengan Hizbullah.

--BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan